Semai perpaduan, keharmonian kaum dalam silibus pendidikan - Utusan Malaysia

Semai perpaduan, keharmonian kaum dalam silibus pendidikan

Perpaduan keharmonian
AARON Ago Dagang (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Rumah Seri Kenangan, Kuching pada Program Harmoni sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama, di DUN Sarawak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pendedahan tentang perpaduan dan keharmonian kaum dicadang untuk diterapkan dalam silibus pendidikan peringkat sekolah supaya budaya tersebut dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat sejak usia kanak-kanak lagi.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, saranan tersebut merupakan komitmen Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk memastikan masyarakat yang berbilang kaum dibentuk dengan sikap keharmonian sesama bangsa.

“Sekarang di bawah KPN, kita mulakan usaha ini di peringkat sekolah lagi sebab mereka yang baharu (masih muda) itu perlu diberikan pendedahan awal. 

“Sebab itu cadangan tersebut dipersetujui agar nilai keharmonian antara kaum diberikan pendedahan dalam silibus pendidikan seawal pendidikan awal taska, sekolah rendah dan juga sekolah menengah seterusnya di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam usaha memperkasakan nilai itu,” katanya ketika ditemui pada Program Harmoni sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Program tersebut menerima penglibatan pelbagai pihak dalam aktiviti kesukarelawanan termasuk agensi kerajaan, pemimpin tempatan, komuniti, mahasiswa IPT, pelajar sekolah, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT). 

Ia juga merupakan program anjuran bersama KPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di bawah Jabatan Primier Sarawak.

Tambanya, objektif utama penganjuran program tersebut bagi mempertingkatkan serta mengukuhkan persefahaman dan keharmonian antara penganut-penganut agama selain menyebar luas mesej toleransi, perpaduan dalam usaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Aaron Ago menjelaskan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan teras enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“Madani sendiri memadai konsep ke arah pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun. Kalau dulu setiap Perdana Menteri mempunyai wawasan masing-masing. 

“Pada masa yang sama kita mahu agar rakyat memahami dan menyokong usaha kerajaan sekaligus melahirkan masyarakat yang bertamadun,” ujarnya.

Terdahulu, dalam program yang bertemakan Malaysia Madani Dalam Kepelbagaian itu memberi manfaat kepada lebih 1,500 golongan yang kurang bernasib baik dari pusat kebajikan terpilih antaranya agihan sebanyak 260 Kotak Rahmah kepada warga emas. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya