Selepas 26 tahun, Anwar kembali bentang belanjawan

Selepas 26 tahun, Anwar kembali bentang belanjawan

ANWAR Ibrahim mengaminkan doa sebelum membentangkan Belanjawan 2023, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2023 cukup bermakna buat Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau membentangkannya selepas 26 tahun dan kali pertama sebagai Perdana Menteri.

Kali terakhir beliau berbuat demikian ketika pembentangan Belanjawan 1998 iaitu pada 17 Oktober 1997 sebelum disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998.

Malah belanjawan tahun ini merupakan kali pertama di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kerajaan sebelum ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat membahas dan meluluskan Belanjawan 2023 kerana Dewan Rakyat dibubarkan beberapa hari selepas pembentangan.

Justeru, bertemakan ‘Belanjawan 2023: Membangun Malaysia Madani’, Anwar kembali tampil mengemukakan tawaran dan hala tuju ekonomi demi masa depan Malaysia.

Terdahulu, Anwar  yang juga Menteri Kewangan kelihatan segak mengenakan baju Melayu berwarna biru tiba di Bangunan Parlimen pada pukul 3.53 petang dengan membawa beg fail dengan corak tenunan songket Sarawak mengandungi dokumen Belanjawan 2023.

Beliau kemudian bersama dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadilah Yusof disertai dua Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong memasuki Dewan Rakyat.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata Belanjawan 2023 akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa dan pada masa sama, memacu pertumbuhan ekonomi negara di samping menarik pelaburan.

Katanya kerajaan juga mengambil kira daya saing negara, kepantasan kelulusan perniagaan serta beberapa inisiatif baharu termasuk pendigitalan dan penggunaan mampan selain pengeluaran sumber asli dalam proses hiliran dalam Belanjawan 2023. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN