PETALING JAYA: Golongan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) meminta kerajaan menyegerakan pelaksanaan Menu Rahmah berikutan kos hidangan lengkap nasi dua kali sehari kini mencecah RM15 sehari.
Ini menyebabkan, mahasiswa terutama daripada keluarga B40 terpaksa ikat perut. Mereka makan nasi, lauk dan kuah pada tengah hari manakala pada waktu malam hanya melapik perut dengan makan mi segera, roti atau biskut.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ummi Khalilah Azman, 22, memberitahu, kos bagi seseorang pelajar untuk makan sahaja dianggarkan RM500 sebulan.
Beliau berkata, jika ditambah dengan kos-kos lain seperti bahan pembelajaran dan sebagainya, pelajar perlu ada RM1,000 ke RM1,500.
Katanya, walaupun sebahagian besar pelajar dapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ia masih tidak mencukupi kerana wang tersebut perlu diagih untuk beberapa keperluan lain seperti bahan-bahan pembelajaran.
“Di IPT bukan semuanya berasal daripada keluarga yang kaya. Ada pelajar yang daripada kumpulan keluarga B40 perlu membataskan perbelanjaan harian mereka termasuk kos pemakanan.
“Jadi saya minta Menu Rahmah perlu dipercepatkan di seluruh IPT bagi membantu pelajar. Selain menawarkan harga yang murah ia bagi memastikan setiap pelajar dapat menu sajian yang lengkap,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.
Semasa membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyediakan dana sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif sebagai usaha meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan memberi perkhidmatan kepada rakyat.
“Konsep Payung Rahmah telah diperkenalkan sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan. Salah satunya ialah inisiatif Menu Rahmah yang menganjurkan jualan set hidangan pada harga hanya RM5,” katanya.
Dalam perkembangan sama, di Johor Bahru semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya sedang mengkaji beberapa kaedah menambah baik sistem pengajian tinggi di negara ini termasuk mengurangkan kos pembelajaran para penuntut.
Katanya, antara langkah itu adalah dengan mewujudkan sistem anjal di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup penuntut apabila mereka boleh menjalani pembelajaran secara hibrid, iaitu setengah tempoh pengajian di kampus dan setengah lagi di kediaman masing-masing.
“Dalam tempoh tersebut mereka dapat mengurangkan kos sara hidup. Malah, yuran pengajian juga boleh dikurangkan kerana kurang penggunaan fasiliti universiti,” kata beliau.
Seorang lagi siswi Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), Nur Syazwanee Anuar, 24, turut berharap program tersebut dapat disegerakan demi membantu mahasiswa di seluruh negara.
“Bagi saya, jika Menu Rahmah dapat disegerakan memang sudah pasti tidak ada pelajar lagi perlu mengikat perut untuk makan demi menyimpan duit bagi keperluan-keperluan lain memandangkan kos untuk makan sudah rendah,” katanya. – UTUSAN










