Saya yakin unjuran KDNK lepasi 4.5 peratus - PM - Utusan Malaysia

Saya yakin unjuran KDNK lepasi 4.5 peratus – PM

PEMBENTANGAN Belanjawan Oleh Anwar Ibrahim. - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melepasi 4.5 peratus tahun ini.

Katanya, ini meskipun analisis Bank Dunia dan Fitch menganggarkan pertumbuhan KDNK negara tahun ini diunjur pada kadar empat peratus mengambil kira tinjauan ekonomi global yang mencabar.

Bagaimanapun katanya, pentadbirannya bertekad atas prinsip pertanggungjawaban, untuk mengawal kedudukan fiskal termasuk menangani permasalahan hutang dan pada masa sama terus menopang pertumbuhan ekonomi yang terangkum dan mampan.

“Meyakini prospek ekonomi domestik yang semakin mengukuh, kerajaan mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus.

“Malah, mengambil kira ikhtiar untuk melaksana pembaharuan dan reformasi pentadbiran, saya yakin negara akan melepasi unjuran KDNK 4.5 peratus.

“Tentunya ini didorong langkah tuntas Belanjawan 2023 yang akan memacu pertumbuhan lebih mampan selain keyakinan pelabur antarabangsa yang kembali merancakkan ekonomi negara,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kerajaan turut menjangkakan kutipan hasil 2023 berjumlah RM291.5 bilion ketimbang RM294.4 bilion pada tahun lalu.

“Namun, ini belum mengambil kira sumber hasil tambahan dan yakin akan meningkatkan hasil tahun ini ke paras yang lebih tinggi.

“Pentadbiran ini mengambil pendekatan dasar Belanjawan 2023 yang mengembang sebagai usaha mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati semua rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN