Saya tidak patut dipersalahkan - Tun M

Saya tidak patut dipersalahkan – Tun M

DR. Mahathir Mohamad ketika sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Saya tidak faham kenapa orang salahkan saya letak jawatan kerana yang patut disalahkan ialah orang yang tidak sokong pendirian saya ketika itu,” kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Itu reaksi beliau terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada 13 Februari lalu.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat dielakkan.

Dr. Mahathir berkata, ketika krisis politik pada 2020 itu, beliau meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya menangguhkan keputusan untuk keluar Pakatan Harapan (PH).

“Saya letak jawatan kerana parti (Bersatu) saya tolak saya dan biasanya dalam demokrasi apabila kita ditolak parti sendiri maka kita akan letak jawatan.

“Malah, ketika itu juga saya sedar bahawa kerajaan PH akan jatuh kerana lompatan daripada Bersatu dan beberapa Ahli Parlimen PKR.

“Apabila PH jatuh, saya nak jadi Perdana Menteri pun tak boleh kerana parti saya tidak lagi menjadi kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, beliau juga tidak boleh menyerahkan tampuk kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu kerana mengikut proses biasa ia perlu diserahkan kepada Parlimen, namun Parlimen tidak bersidang pada masa itu.

Pada 23 Februari 2020 lalu, Bersatu mengumumkan keluar gabungan PH menerusi kenyataan Presidennnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan itu jelas Muhyiddin dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam mesyuarat khas yang diadakan malam sebelumnya.

Ia membuatkan Mahathir meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari.

Ditanya dakwaan kononnya ada pihak meragui UMNO untuk membela orang Melayu selepas menyertai Kerajaan Perpaduan, Dr. Mahathir berkata, mereka (UMNO) sebenarnya tidak layak menjadi kerajaan.

Katanya, beliau hairan kenapa UMNO masih diberi kepercayaan walaupun pemimpinnya berdepan 47 pertuduhan rasuah.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir turut menyuarakan kebimbangan bahawa kerajaan hari ini akan mengubah sempadan pilihan raya sekali gus mengancam kedudukan orang Melayu.

“Sekarang ini saya diberitahu, mereka berjaya kumpul sehingga dua pertiga majoriti, saya khuatir dengan majoriti ini mereka akan tukar kawasan pilihan raya menjadikan orang Melayu terpencil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya