KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau tertekan ketika mengendalikan akaun milik Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berjawatan Perdana Menteri.
Joanna Yu Ging Ping, 51, berkata, jika baki akaun pelanggan biasa kerap tidak mencukupi, akaun tersebut berisiko ditutup dan kesannya menyebabkan ‘cek tendang’ berlaku.
Jelas saksi pendakwaan ke-41, bagaimanapun beliau dimaklumkan bahawa jika baki akaun Najib tidak mencukupi, pihak bank tidak boleh menutup akaun demi menjaga reputasinya selaku Perdana Menteri.
Menurut Joanna, pengendalian akaun Perdana Menteri sangat mencabar kerana pihak bank tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
“Kita tahu Najib Perdana Menteri ketika itu. Adakah kita akan merisikokan reputasi beliau dengan melakukan kesilapan di mana akhirnya pihak bank yang akan merasa tertekan?” Soal Joanna.
Saksi selanjutnya berkata, jika situasi sama berlaku kepada akaun individu lain, terdapat protokol di pihak cawangan untuk menutup akaun itu jika didapati baki di dalamnya sering tidak mencukupi.
Dalam pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, saksi menyatakan sedikit terkejut ketika dimaklumkan bahawa beliau ditugaskan menjaga akaun peribadi Najib di AmBank.
Bekas pegawai AmBank itu menjelaskan, pada awalnya beliau diberitahu oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bahawa Najib akan membuka akaun di bank itu.
Menurut Joanna, beliau dilantik sebagai pengurus perhubungan bagi akaun peribadi Najib kerana pernah mengendalikan akaun berkaitan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, beliau juga diberitahu bahawa Pengarah Urusan Kumpulan Ambank ketika itu, Cheah Tek Kuang yang akan menguruskan urusan pembukaan akaun dengan menemui Najib.
Joanna menjelaskan, selaku Perdana Menteri, beliau berpendapat Najib sepatutnya membuka akaun di bank lain seperti Maybank, bukan Ambank.
Menjawab soalan Ahmad Akram, saksi berkata, Najib tidak pernah menuduhnya berkonspirasi dengan Jho Low menyeleweng wang dalam akaun beliau.
Jelas saksi, beliau tidak mengingati jika wujud bukti bahawa Jho Low telah menggunakan wang dalam akaun Najib untuk manfaat sendiri.
Beliau turut menyatakan, Najib tidak pernah membuat sebarang dakwaan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan cek-cek daripada bank itu.
Saksi itu berkata, Najib tidak pernah bertanya secara lisan atau menulis kepada bank mengenai sumber wang yang masuk ke dalam akaunnya.
Joanna memberikan keterangan terhadap Najib, 69, yang menghadapi pertuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN