PETALING JAYA: Slogan ‘Menang ‘selfie’, kalah undi’ menggamatkan konti HotFM pada hari pertama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang memulakan tugas sebagai penyampai radio, hari ini.
Khairy atau lebih mesra disapa KJ dalam slot Bekpes Hot bersama Johan Raja Lawak dan Muhammad Azmir Selamat atau AG pagi tadi, mengaku buntu memikirkan masa depannya selepas kalah di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.
“Saya ingat menang sebab apabila pergi berkempen, ramai yang ajak ‘selfie’. Rupanya, saya kalah. Menang ‘selfie’ tapi kalah undi.
“Selepas kekalahan November lalu, saya tak tahu nak buat apa… Memang ‘jammed’ sebab fikir masa depan,” katanya.
Slogan ‘Menang ‘selfie’, kalah undi’ itu lantas mengundang tawa besar dan menarik perhatian dua penyampai yang lain yang menganggap ia sebagai slogan baharu yang sesuai dipromosikan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Khairy dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu PRU15.
Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd. Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang. – UTUSAN










