KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah Liyana, menegaskan dia hanya memberi nasihat dan tindakan yang patut diambil isteri kepada pelakon, Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri ketika berdepan isu kehadiran orang ketiga dalam rumah tangganya.
Jelasnya, dia sama sekali tidak berniat mencampuri urusan rumah tangga pasangan itu, sebaliknya hanya memberikan nasihat sewajarnya selepas Shuhada menghantar mesej peribadi ketika dia berada di Madinah menunaikan umrah, bulan lalu.
“Dia (Shuhada) ada hantar mesej (DM) dan cerita masalah ketika saya berada di Madinah. Dia minta saya doakan dan bertanya langkah yang perlu diambil disebabkan dia tidak mengetahui apa-apa.
“Jadi, saya beritahu langkah yang perlu diambilnya ketika berdepan kemelut tersebut,” katanya semasa majlis penjenamaan semula busana tekstil dan pertunjukan fesyen Cosry di Shoppes By Four Seasons, hari ini.
Puteri Sarah juga memberi nasihat kepada Shuhada supaya bertindak mengikut gerak hatinya dalam membuat sebarang keputusan.
“Jangan buat kerana orang lain yang suruh. Shuhada perlu ikut kata hati. Dia pun ada cakap, sudah tak boleh tahan dan tak tahu nak buat apa.
“Sudah tentu, saya faham dia menderita dan nasihatkan supaya ambil tindakan. Apapun, semua keputusan terpulang kepada dirinya,” katanya.
Menurut ibu dua anak itu, sebagai wanita, mereka perlu belajar berdikari dan mesti mempunyai pendapatan sendiri.
“Saya nasihat dia sebagai wanita, kita perlu bekerja dan mempunyai duit sendiri. Saya bagi kata semangat dan bukan beri nasihat yang salah.
“Kita perlu fikir juga kesihatan mental mangsa yang menghadapi masalah ini,” katanya.
Kelmarin, Hafidz, 29, didakwa menceraikan isterinya dengan talak satu menerusi panggilan telefon bersaksikan keluarga.
Shuhada juga difahamkan akan ke mahkamah pada 1 Mac ini bagi tujuan pengesahan lafaz cerai tersebut.