Saksi terkejut Jho Low nafi bercakap dengannya

Saksi terkejut Jho Low nafi bercakap dengannya

NAJIB Tun Razak hadir diiringi pegawai penjara di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sambungan prosiding perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - UTUSAN/AMIR KHALID 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping terkejut apabila mengetahui bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho menafikan bercakap dengannya dalam urusan membabitkan akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saksi pendakwaan ke-41 itu juga terkejut apabila dimaklumkan oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa Jho Low turut menafikan pernah memberikan sebarang arahan kepada bekas pegawai bank itu dalam pelbagai transaksi membabitkan akaun peribadi Najib.

Perkara tersebut ditimbulkan peguam terbabit apabila setiap kali ditanya mengenai transaksi wang keluar masuk melalui akaun bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Ging Ping menjawab setiap tindakan yang diambilnya adalah berdasarkan arahan daripada Jho Low.

Terdahulu, Muhammad Shafee merujuk kepada Ging Ping, keterangan yang diberikan Jho Low kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 27 November 2015.

Keterangan Jho Low yang turut digunakan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. itu turut menafikan bahawa dia mempunyai kaitan dengan akaun peribadi Najib atau mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit dalam apa jua perkara.

Jho Low menafikan pernah memberikan arahan kepada sesiapa termasuk Ging Ping mengenai transaksi-transaksi kewangan kerana dia bukanlah penandatangan yang dilantik.

Muhammad Shafee: Adakah awak terkejut Jho Low dalam keterangannya kepada SPRM menafikan pernah berbual dengan awak melalui sistem pesanan Blackberry (BBM)?

Ging Ping: Saya tidak tahu apa yang dia cakap (kepada SPRM).

Muhammad Shafee: Saya beritahu awak apa yang dia (Jho Low) cakap. Jho Low apabila ditunjukkan salinan perbualan BBM menyatakan dia tidak tahu menahu mengenai perbualan ini dan menyatakan tidak pernah bercakap dengan awak. Adakah awak terkejut?

Ging Ping: Ya.

Pada prosiding yang sama, Ging Ping menafikan bahawa dia ada menerima sebarang rasuah berbentuk telefon bimbit jenama 1Phone 5S daripada Jho Low.

Ujarnya, lelaki berkenaan pernah menawarkan telefon tersebut kepadanya namun tawaran itu ditolak atas alasan beliau tidak mahu dan tidak memerlukan telefon bimbit.

Saksi berkenaan turut memberitahu dia pernah beberapa kali menolak tawaran Jho Low untuk bekerja dengan lelaki itu kerana tidak mahu mengikut cara kerja ahli perniagaan dalam buruan itu.

Ging Ping berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya