BATU PAHAT: Kumpulan penuntut Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Pengurusan Kreativiti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menghasilkan rumah terapung sebagai alternatif kepada masyarakat yang sering menghadapi masalah banjir sekali gus mengelakkan mereka menanggung kerugian akibat bencana itu.
Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) UTHM, Dr. Lutfan Jaes berkata, perkongsian ilmu oleh penuntut berkenaan adalah permulaan untuk menghasilkan suatu produk yang boleh dikomersialkan kepada pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat bagi mewujudkan sebuah penempatan selamat di kawasan yang sering dilanda banjir.
Bagaimanapun katanya, perkara itu perlu diperincikan dengan lebih jelas setiap bahan dan sistem dalam model perumahan berkenaan supaya mencapai tahap dan tujuan pembinaannya.
“Kejadian banjir di negara sudah berlaku sejak 53 tahun lalu dengan paling besar pada tahun 1969 dan berlarutan tanpa berkesudahan hingga sekarang.
“Apa yang kerajaan lakukan adalah memberikan pelbagai bantuan seperti penempatan baharu, makanan, keperluan harian dan kewangan untuk membantu mangsa,” katanya semasa merasmikan seminar ‘Sustainable Engagement Project’ di PPUK UTHM, semalam.
Menurut Lutfan, perlu ada usaha lain untuk membantu mangsa yang terpaksa berpindah dari kediaman mereka, iaitu dengan membina rumah terapung seperti yang dihasilkan penuntut berkenaan.
“Projek ini memberi tumpuan terhadap inovasi reka bentuk dan fungsi rumah terapung bagi menghindari kerosakan rumah ketika banjir,” katanya. – UTUSAN