Rumah hampir roboh diserang gajah liar, Nasir mohon bantuan

Rumah hampir roboh diserang gajah liar, Nasir mohon bantuan

RUMAH Nasir Gelahok rosak bahagian dinding dan hampir roboh akibat diserang gajah liar pada 6 Disember tahun lalu di Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis, Pahang. – FOTO/IHSAN PENDUDUK KG. SIMOI BARU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Tatkala masih bersedih de­ngan kematian isterinya yang ma­ut dipijak gajah pada 6 Disember tahun lalu, kini Nasir Gelahok, 41, berdepan pula masalah rumahnya yang hampir roboh dan tidak sesuai lagi didiami bersama tujuh anaknya di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di sini.

Dia memohon sama ada kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat memban­tu membina sebuah rumah baharu di tempat yang lebih selamat di kampung tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nasir berkata, dia serta tujuh orang anaknya kini me­numpang di rumah saudara yang jaraknya 30 meter dari kediaman asal yang diganggu oleh gajah liar, 6 Disember tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anak perempuan saya selalu merungut dan meminta untuk kembali ke rumah kami yang tidak kukuh lagi dan hampir roboh akibat ditolak berkali-kali oleh gajah liar dalam kejadian bulan Disember tahun lalu.

“Saya tidak boleh membawa anak pulang tinggal di rumah lama kerana takut runtuh lagipun keselamatan anak perlu dijaga bimbang gajah liar datang semula dan tidak mahu tragedi berulang,” katanya di Kampung Simoi Baru di sini semalam.

Menurut Nasir, sehingga kini dia dan tujuh anaknya masih trauma dan bersedih dengan kehilangan isterinya, Wak Angkat Yok Tong, 39.

“Anak saya sering bertanya hal ini (ibu) ketika waktu makan dan hendak tidur kerana mereka masih belum boleh menerima hakikat kejadian tersebut,” katanya.

Jelasnya, dia tidak mampu dari segi kewangan untuk membeli peralatan binaan kerana masih tidak keluar bekerja termasuk penduduk di situ kerana takut diganggu gajah liar.

“Saya berharap ada pihak yang boleh membantu membina rumah baharu supaya anak-anak sedikit selesa berteduh dan me­ngulangkaji pelajaran,” katanya.

Tambahnya, dia bercadang membina rumah baharu di kawasan lain di kampung itu memandangkan sudah tidak sesuai lagi untuk tinggal di tapak asal selain trauma apabila mengi­ngati tragedi menimpa Wak Ang­kat.

Orang ramai dan NGO yang ingin menyumbang kepada Nasir boleh menghubungi Norfini Ajik untuk perkembangan keluarga tersebut menerusi talian 01116183254. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×