PETALING JAYA: Sebanyak RM436 juta disediakan oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Malah, kerajaan juga menyediakan RM35 juta sebagai dana untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di institusi pendidikan tinggi di bawah program Malaysian Research and Education Network (MYREN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KPT akan menerima peruntukan sebanyak RM15.3 bilion berbanding RM14.5 bilion pada tahun lalu.
“Saya sering menekankan pentingnya budaya ilmu dan tradisi aqliah. Suatu yang perlu diambil iktibar ialah laporan tentang kemerosotan pengajian tinggi di Amerika Syarikat berjudul ‘A Nation at Risk: The Imperative for Educational Reform’.
“Ia mengungkapkan keprihatinan terhadap tahap kekuatan intelektual, moral dan kerohanian bangsa Amerika,” katanya.
Malah, sebanyak RM428 juta juga disediakan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).










