PUTRAJAYA: Peruntukan RM10 juta bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden yang diumum pada Belanjawan 2023 lalu tidaklah terlalu banyak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, manfaat utama pengedaran itu tidak lain adalah untuk memperluaskan pemahaman terhadap agama Islam.
“Apakah yang banyaknya (langkah mengedarkan) terjemahan al-Quran? Bukan sahaja dalam bahasa Sweden yang berjumlah 20,000 tetapi yang lain juga untuk pemahaman. Masalah kini adalah kefahaman. Yang menentang Islam, dia tidak pernah membaca. Yang lawan balik pun dia kata semua orang tidak betul.
“Jadi kita kena baca balik teks terjemahan dan tafsir sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan sementara mengangkat penghayatan Islam ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa bertajuk ‘Islam dan Islamofobia: Ke Arah Libat Urus Bermakna Menerusi Pendekatan Madani’ di sini, hari ini.
Anwar menjawab soalan media berhubung tindakan segelintir pihak mengkritik peruntukan sebanyak RM10 juta yang diumumkan itu sebagai terlalu banyak.
Beliau menegaskan bahawa peruntukan itu sebagai permulaan kepada langkah pengedaran terjemahan al-Quran di seluruh dunia.
Anwar berkata, hasrat utama kerajaan adalah untuk menggalakkan rakyat membaca terjemahan dan mentafsir tafsir al-Quran dengan lebih mendalam.
“Ini ialah tradisi akhliyyah atau tradisi ilmu,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2023 lalu, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM10 juta bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia. – UTUSAN










