Ramai tertipu dengan aplikasi dalam talian tawar ganjaran lumayan

Ramai tertipu dengan aplikasi dalam talian tawar ganjaran lumayan – MHO

HISHAMUDDIN HASHIM

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menerima sekurang-kurangnya 80 aduan daripada pengguna-pengguna yang berdaftar dengan aplikasi dalam talian berbentuk perkhidmatan yang memberi ganjaran dalam talian (e-ganjaran).

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, antara perkhidmatan tersedia di dalam aplikasi itu adalah yang menjanjikan ganjaran melalui pemberian mata ganjaran bagi setiap pembelian atau perkhidmatan yang digunakan di dalam perkhidmatan aplikasi tersebut.

“Aplikasi ini juga menawarkan perkhidmatan barang-barang, membeli-belah barangan secara dalam talian, platform untuk tempahan hotel dan menempah percutian, pengiklanan digital dan platform untuk menonton persembahan dan video.

“Bagi membolehkan pengadu-pengadu menggunakan perkhidmatan di dalam aplikasi ini, pengadu dikehendaki membeli baucar yang dikenali sebagai (QV) yang mana pembayaran bagi baucar ini hendaklah dibeli melalui FPX online. Nilai pembelian 1 QV bersama RM1,” katanya dalam kenyataan.

Kata Hishamuddin, pengadu-pengadu yang telah membeli QV pada waktu promosi akan diberi ganjaran dalam bentuk baucar subsidi dikenali sebagai SV, manakala pengadu yang berbelanja dengan QV pada jumlah tertentu akan diberi ganjaran SV tersebut.

“Pengadu lebih tertarik dengan aplikasi ini apabila QV dan SV ini boleh digunakan untuk membeli atau membayar barang atau perkhidmatan yang tersedia di dalam aplikasi tersebut.

“Pengadu juga dijanjikan penjimatan sehingga 50 peratus penjimatan apabila mereka menggunakan perkhidmatan atau membeli barang melalui aplikasi ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pengadu-pengadu yang telah berdaftar dan membeli QV secara FPX online tidak diberikan QV dan SV apabila aplikasi tersebut tidak lagi berfungsi.

“Terdapat makluman mengatakan bahawa pasar mini yang berdaftar dengan pengendali aplikasi tersebut di mana pengadu membeli barang-barang runcit pada separuh harga juga telah ditutup kedai tersebut.

“Kebanyakan pengadu-pengadu memaklumkan yang mereka ini berhadapan masalah kewangan sangat teruk setelah membuat pembayaran bagi membeli QV ini. Bayaran yang telah dibuat juga tidak dipulang semula kepada mereka,” katanya.

MHO akan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pukul 11 pagi esok bersama mangsa-mangsa berkenaan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN