Radhi OAG jerit bekas isteri dengan kata-kata kesat - Utusan Malaysia

Radhi OAG jerit bekas isteri dengan kata-kata kesat

RADHI OAG hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi perbicaraan mendatangkan kecederaan pada bekas isteri. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas isteri Radhi OAG memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini, penyanyi itu menjerit dengan kata-kata kesat sebelum berlaku pergaduhan di parkir sebuah kondominium di Damansara di sini, tahun lalu.

Nur Shaira Ayu Zahiri, 29, berkata, bekas suaminya itu memaki hamunnya dengan mengatakan ‘kau ingat kau bagus, kau ingat kau cantik’ hanya kerana dia enggan berswafoto.

Menceritakan kejadian pada 19 April 2022, saksi pendakwaan pertama itu memberitahu, dia dan kakaknya mahu mengambil anak lelaki mereka di kondominium tersebut.

“Saya tidak datang seorang tetapi bersama kakak, anak perempuan saya dan tiga lagi anak buah. Apabila sampai di situ (rumah Radhi), saya kemudian terus naik ke atas bersama tiga anak buah.

“Sampai di rumah Radhi, saya kemudian terus mengambil anak lelaki saya yang sedang tidur di atas sofa lalu terus turun ke lobi,” ujarnya.

Bercerita lanjut, ibu dua anak itu berkata selepas turun ke parkir bawah Radhi ada meminta untuk berbincang mengenai isu anak di tepi kereta sebelum pulang.

Ujarnya, Radhi kemudian mengajak berswafoto dalam kereta menggunakan telefonnya namun dia menolak kerana enggan berpelukan sambil berswafoto kerana sudah bercerai.

“Saya kata kalau nak bergambar, ambil di luar kereta dan disitu permulaan Radhi marah. Dia jerit depan muka saya termasuk mengeluarkan perkataan kesat kerana marah kenapa tidak boleh berbaik untuk ambil gambar.

“Saya cakap elok-elok ketika perbalahan berlaku. Kenapa perlu marah? Kita ada kehidupan masing-masing dan tidak perlu ambil gambar sebegini,” kata saksi itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Hussain.

Katanya berikutan itu, berlaku insiden  tolak menolak dan berlaku pergaduhan sebelum kakaknya datang meleraikan situasi tegang yang berlaku.

Nur Shaira berkata ekoran kejadian itu dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara pada hari sama selain mengesahkan terdapat kesan lebam pada tangannya akibat kejadian itu.

Ketika pemeriksaan balas peguam Haziq Aizuddin Subhi yang mewakili Radhi, Nur Shaira mengakui dia juga ada memukul tertuduh untuk mempertahankan diri.

Perbicaraan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol bersambung pada 21 Jun ini.

Mengikut pertuduhan, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 46, didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shaira Ayu di parkir Emporis Menara D Kota Damansara, di sini, pukul 2.29 petang pada 19 April 2022.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dikurniakan dua anak, Muhammad dan Nur Aisyah masing-masing berusia enam dan tujuh tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN