IPOH: Kerajaan berhasrat mewujudkan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di negeri lain selepas pusat pemulihan sama dibina di Melaka dan Perak.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, cadangan itu bagaimanapun memerlukan perancangan yang teliti ekoran pembinaannya memerlukan peruntukan besar.
“Memang ada cadangan (bina di Sarawak dan Sabah), malah kita juga ada berbincang dengan Perkeso berkaitan perkara ini.
“Bagaimanapun, kita kena faham, projek ini memerlukan kos yang agak tinggi jadi perancangan lebih strategik perlu dilakukan.
“Memang hasrat saya sendiri pun, kalau boleh setiap negeri ada pusat rehabilitasi seperti ini. Disebabkan ia melibatkan kos terlalu besar, maka ia masih di peringkat perancangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pusat rehabilitasi Perkeso di Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, A. Maniam; Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ahli Lembaga Perkeso, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.
Mengulas lawatannya ke tapak projek pusat rehabilitasi di Perak, Sivakumar berkata, kerja-kerja pembinaan pusat itu yang bermula Jun tahun lalu kini berada di fasa pembinaan peringkat kedua atau tahap 11.86 peratus penyiapan.
Menurutnya, pusat bertaraf antarabangsa membabitkan kos pembinaan sebanyak RM654 juta di atas tanah seluas 37 hektar itu dijangka siap pada hujung 2024.
Katanya, pusat itu mampu memuatkan sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa dan bertindak sebagai pusat kecemerlangan bagi program rehabilitasi dan Return To Work (RTW) Perkeso.
“Saya turut melawat Penginapan Pekerja Jangka Pendek (TLQ) pusat itu dan amat berpuas hati dengan kemudahan dan fasilitii yang disediakan.
“Kediaman pekerja di sini merupakan contoh terbaik untuk penyediaan satu sistem TLQ yang lengkap dan disarankan ia menjadi satu standard bagi penyediaan penginapan pekerja warga asing di negara ini,” katanya.
Tambah beliau, selain memberi kemudahan kepada ahli Perkeso terutama di bahagian utara, pembinaan pusat meliputi 11 blok itu juga akan menggalakkan industri pelancongan kesihatan negara.
“Itu juga satu daripada hasrat kita di mana bukan sahaja beri bantuan kepada rakyat di negara ini malah menggalakkan kemasukan pelancong dalam pertumbuhan pelancongan kesihatan,” katanya.
Selain di Perak, Pusat Rehabilitasi Perkeso (PRP) Tun Abdul Razak di Melaka telah mula beroperasi sejak Oktober 2014 di kawasan seluas 22 hektar yang menempatkan empat bangunan utama iaitu blok pentadbiran, blok rehabilitasi, asrama dan vokasional. – UTUSAN