Pucuk pimpinan PDRM tidak akan lindung pegawai, anggota terlibat jenayah - Utusan Malaysia

Pucuk pimpinan PDRM tidak akan lindung pegawai, anggota terlibat jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Mana-mana pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati terbabit dalam sebarang bentuk kesalahan jenayah sama sekali tidak akan dilindungi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pucuk pimpinan PDRM tidak akan berkompromi terhadap pihak yang didapati bersalah.

“Warga PDRM diingatkan supaya sentiasa menjaga tingkah laku walau di mana berada serta apa jua keadaan sekali pun.

“Dalam perkembangan serta kepesatan media sosial pada masa kini, kita juga sering menjadi perhatian masyarakat yang mana setiap salah laku akan dilaporkan dalam mana-mana aplikasi media sosial,” katanya dalam ucapan perasmian Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi dan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan.

Razarudin berkata, seluruh masyarakat diseru menjadi rakan kerjasama PDRM.

“Masyarakat boleh menyalurkan maklumat untuk membantu membanteras jenayah seiring dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh IPD Serdang dalam membanteras kegiatan jenayah, judi, maksiat serta aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh warga PDRM untuk bersama-sama berpegang teguh kepada tiga fokus utama yang diterapkan Ketua Polis Negara, supaya setiap pegawai dan anggota tidak tersasar dan sentiasa berada pada landasan betul.

Tiga fokus berkenaan adalah untuk memperkasa integriti dalam kalangan warga PDRM, memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan PDRM dan meneruskan usaha kerajaan mengekalkan kesejahteraan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya