Puas hati buat ihsan kepada pelanggan

Puas hati buat ihsan kepada pelanggan

NIK Haznita Yusuf menunjukkan Menu Rahmah yang dijual di gerainya di Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sebuah gerai di Masjid Tanah di sini tidak ketinggalan memperkenal Menu Rahmah bertujuan memastikan masyarakat khususnya golongan B40 mampu membeli makanan pada harga berpatutan.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, pemilik Dapur Nikloh, Nik Haznita Yusuf, 41, berkata, gerainya menawarkan hidangan nasi putih bersama sayur dan ayam goreng serta sambal belacan yang berharga RM5 sepinggan.

Kata anak jati Kota Bharu, Kelantan itu, dia berasa terpanggil menyertai inisiatif berkenaan kerana mahu membantu masyarakat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Konsep ini menarik untuk diketengahkan dan nama Menu Rahmah itu sendiri sangat unik. Sejak saya membuat hebahan dalam media sosial, ramai yang bertanya untuk mengetahui lebih lanjut tentang menu ini.

“Niat saya memperkenal Menu Rahmah ini untuk membantu dan bersedekah kepada masyarakat. Walaupun margin untung kecil, saya tetap berasa puas dapat berbuat ihsan kepada pelanggan.

“Bagi yang mempunyai keluarga besar, mereka dapat membeli makanan tanpa perlu berkira-kira harga yang perlu dibayar. Kepada yang berniat untuk belanja orang lain, mereka tidak terbeban untuk melakukan kebaikan,” katanya ketika ditemui di sini.

Nik Haznita berkata, masakan dalam Menu Rahmah akan dipelbagaikan agar pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan.

Menurutnya, dia akan menggunakan ayam sebagai hidangan utama buat masa ini, memandangkan harga ikan yang mahal menyukarkannya mendapat pulangan modal.

“Saya akan pelbagaikan masakan lauk pada masa depan seperti ayam goreng berlada agar pelanggan tidak jemu. Sehari ada tiga jenis lauk dan pelanggan boleh pilih, yang penting harga tetap RM5.

“Jika harga ikan turun, mungkin saya akan masukkan dalam menu tetapi buat sementara ini, ayam menjadi pilihan utama. Menu Rahmah ini akan diteruskan setiap hari selagi mendapat sambutan daripada pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya