PETALING JAYA: Unit khas di bawah Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah akan ditubuhkan bagi membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan penubuhan unit itu yang bekerjasama erat dengan pelbagai agensi berkaitan bagi mengesan pelaku.
“Unit khas berkenaan akan memberikan impak positif terhadap usaha kerajaan dalam membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak.
“PDRM turut menghargai peruntukan sebanyak RM10 juta seperti yang diumumkan sebagai geran pengoperasian bagi mengukuhkan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) mengekang jenayah penipuan dalam talian atau scam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, pihaknya menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan yang akan dinikmati secara langsung oleh warga PDRM.
Jelas beliau, peruntukan itu termasuk RM18.5 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi terus memperkukuh ketenteraman awam dan menjamin keamanan serta keselamatan negara.
Katanya, hampir RM1 bilion untuk agensi agensi di bawah KDN bagi memperkasa keselamatan dalam negeri antaranya bagi memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan selain pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan kuarters polis baharu dengan kos RM450 juta.
“Penambahan 42 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA), imigresen, Esscom dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) adalah bagi memperketat kawalan sempadan negara.
“Sementara RM500 juta untuk menyelenggara rumah keluarga angkatan tentera dan membaik pulih kuaters kediaman dan institusi di bawah KDN,” katanya.
Beliau memberi jaminan semua peruntukan diumumkan kerajaan melalui Belanjawan 2023 akan dimanfaatkan sepenuhnya. – UTUSAN










