PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan berhubung penemuan sebanyak 13 naskhah al-Quran dalam sebuah longkang di Tasik Sri Murni Jinjang dekat sini.
Penemuan itu turut tular dalam Tiktok sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dan setakat ini menerima hampir 11 ribu likes’.
Ini susulan aduan diterima pihak polis daripada wanita tempatan berusia 52 tahun berhubung penemuan tersebut kira-kira 11.32 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 6.30 petang, semalam apabila pengadu yang sedang beriadah bersama suaminya telah ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan tasik.
Beliau berkata, hasil pemerhatian pengadu mendapati senaskah al-Quran dalam keadaan terbuka dan telah terkeluar dari beg tersebut.
“Kemudian, pengadu telah meminta bantuan dari seorang lelaki yang tidak dikenali berada berhampiran dengannya untuk membawa naik beg itu.
“Kesemua naskah Al-Quran itu telah dibawa keluar dan dihantar ke Masjid Annas Kampung Selayang Lama untuk di simpan.
“Susulan itu, pihak polis membuat semakan di TikTok berkaitan aduan dilaporkan dan siasatan awal mendapati sebanyak 13 naskah al-Quran yang telah dijumpai di dalam longkang sengaja dibuang di situ oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci Al-Quran dengan tujuan untuk mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.
Ujarnya, kesemua naskah al-Quran tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Pihak Polis Kuala Lumpur menasihati semua orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kebimbangan serta menjejaskan ketenteraman awam terutama kepada masyarakat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482206,” ujarnya.- UTUSAN










