Polis jamin keselamatan sepanjang perayaan Thaipusam - Utusan Malaysia

Polis jamin keselamatan sepanjang perayaan Thaipusam

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain pada sidang akhbar mengenai persediaan kawalan keselamatan sempena sambutan perayaan Thaipusam di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang memberi jaminan kawalan keselamatan berada pada tahap tertinggi sepanjang sambutan perayaan Thaipusam berlangsung di kuil Jalan Air Terjun di sini, pada 4 hingga 6 Februari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis akan menggerakkan seramai 1,250 pegawai dan anggota bagi memastikan keselamatan kira-kira 1.5 juta pengunjung yang dijangka hadir sempena upacara keagamaan itu.

”Pihak polis mempunyai keanggotaan yang mencukupi sepanjang upacara Thaipusam berlangsung.

”Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang upacara Thaipusam berlangsung,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, polis akan menjalankan operasi bersama agensi berkaitan bagi memantau sekiranya terdapat penjualan alkohol yang dilarang dijual di pasaran.

Ujar beliau, rondaan dari gerai ke gerai di sepanjang jalan menuju ke kuil akan dilakukan bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan menjual minuman keras atau melakukan aktiviti tidak sihat.

”Kita juga telah bertemu pengurusan kuil dan mereka menyokong perbuatan mabuk disebabkan alkohol ditegah oleh agama Hindu, dan kita tidak akan beri peluang majlis suci seperti Thaipusam dicemari insiden-insiden yang berpunca daripada individu mabuk,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar akan ditutup bermula 4 hingga 6 Februari bagi memberi laluan kepada pergerakan pedati.

”Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Kebun Bunga, Jalan Gottelieb, Jalan Utama, Jalan Macalister, Jalan Burma, Jalan Brown, Jalan Scotland, Jalan Batu Gantung dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, perbuatan bermain mercun serta bunga api juga dilarang dan mana-mana individu yang ingkar boleh diambil tindakan dibawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

”Penggunaan dron semasa perayaan Thaipusam adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa penerbangan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya