KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjawab soalan-soalan dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dalam tempoh mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.
Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul sebelum sesi berkenaan pada hari kedua Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
“Ini bermaksud Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan menjawab tiga soalan (Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri) dan ia bermula, pada hari ini.
“Sementara MQT pada setiap Khamis akan dijawab oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri. Pemakluman akan dibuat jika terdapat sebarang perubahan pada peraturan itu,” katanya.
Sebelum ini, Johari berkata, sesi Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) memerlukan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sebelum digazetkan sebagai sesi tetap sidang Dewan Rakyat. – UTUSAN