KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persaingan yang sihat dapat dilihat dalam merebut empat jawatan Naib Presiden UMNO serta jawatan di bawahnya.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu menegaskan, dengan itu pihaknya merasakan yang penting adalah bukan pemilihan yang dibuat melalui kumpulan berkenaan.
“Namun, yang lebih penting adalah pada hemat pemilihan yang dibuat di peringkat bahagian dan cawangan-cawangan yang akan memilih individu daripada kalangan calon terbaik pada 18 Mac nanti.
“Persaingan ini wujudnya sejak 1966, UMNO pernah mengalami pertandingan di peringkat atasan secara empat kali iaitu zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta kini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri rumusan bengkel dan hala tuju strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Beliau sebelum itu mengulas dakwaan pertandingan jawatan dalam UMNO yang dibuka akan mewujudkan kem-kem calon. – UTUSAN