Pengarah syarikat didakwa kemuka tuntutan palsu - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat didakwa kemuka tuntutan palsu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat penawaran tenaga pekerja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melibatkan lebih RM1.19 juta, dua tahun lalu.

S. Ratah, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussain.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai pemilik Syarikat Star Skill Sdn. Bhd. telah memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan itu, bertarikh 3 dan 6 Mei 2021.

Dokumen berkenaan adalah bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya berjumlah RM1,194,440 di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak di sini sekitar bulan Mei 2021.

Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu iaitu 12 nama pekerja baharu sedangkan mereka bukan pekerja Star Skill.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah palsu itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Fadhly Mohd. Zamry mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM50,000 dan memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

“Jumlah itu adalah munasabah kerana kes termasuk dalam pertuduhan yang tidak boleh dijamin selain memastikan tertuduh hadir ke mahkamah pada setiap tarikh yang ditetapkan.

“Pertuduhan juga melibatkan nilai yang tinggi iaitu melebihi RM1 juta, maka jumlah ikat jamin yang dicadangkan itu adalah bersesuaian, selain risiko sama ada dia melarikan diri atau sebaliknya, tidak dapat ditentukan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Tarlochan Singh Dhaliwal yang mewakili tertuduh, merayu agar kadar itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan selain syarikatnya itu telah muflis.

Mendengar perkara itu, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM45,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi dua syarat yang dicadangkan oleh pasukan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.