Pemberian kontrak RM1.64 juta: Bekas Pengarah Urusan FTC diperintah bela diri - Utusan Malaysia

Pemberian kontrak RM1.64 juta: Bekas Pengarah Urusan FTC diperintah bela diri

ROHAIZAT Ahmad diperintah bela diri atas 33 pertuduhan menggunakan kedudukan dengan memberikan pelbagai kontrak pembekalan membabitkan hampir RM1.64 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd. (FTC) diperintah Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk membela diri atas 33 pertuduhan salah guna kedudukan dalam pemberian kontrak berjumlah RM1.64 juta, sembilan tahun lalu.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong berjaya membuktikan prima facie dalam kes membabitkan Rohaizat Ahmad, 58, itu.

“Mahkamah telah mendengar dan meneliti secara penilaian maksimum terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan serta hujahan bertulis kedua-dua pihak.

“Anggapan di bawah Seksyen 23 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berjaya ditimbulkan oleh pihak pendakwaan yang mana kamu (Rohaizat) menggunakan jawatan dan kedudukan kamu untuk apa-apa suapan. Oleh itu kamu diperintah membela diri atas 33 pertuduhan tersebut,” kata hakim itu.

Rohaizat didakwa pada 4 September 2019 dan kes itu mula dibicarakan pada Januari 2020. Seramai 40 orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk membela diri.

Selepas mahkamah membuat keputusan tersebut, peguam bela tertuduh, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim memaklumkan anak guamnya itu akan memberikan kenyataan bela diri secara bersumpah iaitu daripada kandang saksi.

Peguam terbabit turut memberitahu mahkamah, selain Rohaizat, mereka juga akan memanggil tiga orang saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan peringkat bela diri bersambung pada 22 Mac ini.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-16, Rohaizat didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan sebagai Pengarah Urusan FTC untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya, antaranya sebagai pembekal peralatan elektronik dan sumbangan cenderahati, selain rakan strategik program latihan kemahiran, pembekal baju kurung dan T-shirt berkolar.

Selain itu bagi pertuduhan ke-17 hingga ke-33, dia didakwa melantik anaknya sebagai pengerusi syarikat Hexa Tech Pride sebagai pembekal antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, projektor, komputer riba, barangan elektronik dan sebagai perunding program keusahawanan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 23 April 2014 hingga 27 Jun 2018, di Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd., No. 22, Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park di sini.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.