Pemandu kereta maut rempuh treler  - Utusan Malaysia

Pemandu kereta maut rempuh treler 

KEADAAN kereta dipandu Mohd. Shahrul Nizan Kamarudin yang remuk selepas merempuh sebuah treler muatan anak pokok kelapa sawit di KM 131, Jalan Jerangau-Jabor, dekat Ladang TDM Pelantoh, Kemaman, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah treler muatan anak pokok kelapa sawit di Kilometer (KM) 131, Jalan Jerangau-Jabor dekat Ladang TDM Pelantoh, di sini, petang tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang, Mohd. Shahrul Nizan Kamarudin, 30, yang berasal dari Bandar Seri Bandi, di sini, maut di lokasi kejadian ekoran cedera parah di bahagian badan. 

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi yang dipandu mangsa dari arah Jabor, menghala ke Jerangau tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, kereta itu kemudian merempuh bahagian tangki minyak diesel sebuah treler yang berada di laluan tersebut. 

“Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa turut terbabas ke kaki lima jalan. 

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, petang tadi.

Hanyan berkata, pasukan bomba dan penyelamat turut membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu. 

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya