PETALING JAYA: Penggantungan pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn susulan isu komen yang didakwa berbaur perkauman di laman Instagram adalah langkah yang tepat diambil oleh pihak berwajib, kata bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata, penggantungan itu juga adalah peringatan bahawa komen berbaur perkauman tidak sepatutnya dilakukan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Menurut beliau, Hanis Nadiah tidak sepatutnya melaku atau melontarkan perkara tersebut kerana rasa hormat amat penting kepada masyarakat dan sehubungan itu pemain itu wajar mengambil tanggungjawab atas perbuatannya sendiri.
“Jangka hayat kerjaya seseorang atlet lazimnya singkat, maka diharapkan Hanis menerima sokongan yang bersesuaian dari Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Majlis Sukan Negara (MSN) agar tidak mengulangi kesilapan sama.
“Harus diingat di sini bahawa komen Hanis tidak asing dalam konteks ini. Komen bersifat perpecahan semakin merebak di platform media-media sosial, daripada komen perkauman secara halus di ruangan editorial sehinggalah ke kenyataan-kenyataan yang menghina bangsa serta agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Hanis Nadiah digantung daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa, termasuk Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini selepas didapati bersalah kerana menulis komen berbaur perkauman berhubung konsert artis dan komposer legenda India, AR Rahman pada 28 Januari lalu.
Hanis Nadiah mengakui memuat naik komen ‘bau best la kat dalam tu’ beserta emoji ketawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert di akaun Instagramnya.
Dalam pada masa sama, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia mengingatkan rakyat untuk sentiasa menjaga kata dan jangan menjadikan isu perkauman sebagai norma kehidupan.
“Rentetan dari pilihan raya umum baru-baru ini, artikel serta rencana semakin banyak diterbitkan malahan terdapat ruang di media perdana, dengan terma-terma seperti ‘Taliba’ dan ‘pelampau agama’ seolah-olah menjadi norma yang diungkapkan untuk menggambarkan rakyat Malaysia.
“Asas kepada masyarakat Malaysia itu tersemat melalui rasa hormat di antara satu sama lain, tidak mengira perbezaan politik, bangsa dan agama. Setiap dari kita mempunyai peranan yang penting dipikul untuk memastikan rasa hormat itu subur, jadikan pengalaman Hanis ini sebagai iktibar untuk kita semua,” katanya. – UTUSAN