Pasukan SMART antara kumpulan pasukan dari negara asing

Pasukan SMART antara kumpulan pasukan dari negara asing pertama tiba di Turkiye

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 70 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berlepas ke Turkiye menjadi antara kumpulan pasukan dari negara asing pertama yang tiba di negara itu bagi membantu Kerajaan Turkiye untuk misi mencari dan menyelamat mangsa yang terjejas akibat kejadian gempa bumi. 

Menurut Kementerian Luar Negeri, ia selepas Malaysia dapat menghantar segera pasukan SMART dalam tempoh kurang daripada 12 jam dalam membantu pihak berkuasa tempatan. 

“Seramai 70 anggota tersebut telah selamat tiba di Istanbul pada pukul 6 pagi waktu tempatan semalam dan telah digerakkan ke Adana bagi misi mencari dan menyelamat di kawasan berkenaan yang terletak 500 km dari Ankara atau 987 km dari Istanbul.

“Ini adalah hasil daripada penyelarasan yang amat baik antara kesemua Agensi Kerajaan Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul serta Kedutaan Besar Republik Turkiye di Kuala Lumpur dan Turkish Airlines,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri menyarankan warga Malaysia yang kini berada di Turkiye, Syria dan di negara-negara berdekatan agar terus mengambil langkah berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

“Sekiranya memerlukan bantuan segera, warga Malaysia di negara-negara ini dinasihati untuk segera berhubung dengan Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Ankara, Beirut atau Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul atau Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik,” katanya. 

Dalam pada itu, Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilantik untuk mengetuai Pasukan Petugas secara bersama bagi menyelaraskan usaha bantuan kemanusiaan dari Malaysia termasuk daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), susulan kejadian gempa bumi yang menimpa Turkiye dan Syria. 

 

Jelas Kementerian Luar Negeri, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Datuk Armizan Mohd. Ali selepas pelepasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin. 

Selain itu, uajrnya, objektif utama penubuhan Pasukan Petugas itu juga adalah untuk memastikan segala persiapan dan perancangan bagi saluran bantuan kemanusiaan ke negara-negara terkesan akibat bencana gempa bumi ini berjalan lancar, teratur serta memenuhi garis panduan oleh Kerajaan-Kerajaan berkenaan.

“Satu mesyuarat koordinasi antara Pasukan Petugas ini dengan NGO-NGO Malaysia telah ditetapkan pada hari ini pada pukul 10 pagi,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya