Parlimen: LCS gagal siap, Kementerian Pertahanan sudah laksana empat daripada enam syor PAC - Utusan Malaysia

Parlimen: LCS gagal siap, Kementerian Pertahanan sudah laksana empat daripada enam syor PAC

Kerajaan dijangka menerima lima LCS pada 2029
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan telah menyelesaikan 4 daripada enam syor oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang gagal disiapkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, baki dua syor oleh PAC lagi sedang dalam tindakan kementerian itu.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Rembau itu tidak menjelaskan secara khusus berkenaan syor-syor PAC yang telah diselesaikan dan ‘sedang dalam tindakan’ seperti yang disebut.

“Terdapat tujuh syor yang terkandung dalam laporan PAC, yang mana enam syor merupakan tindakan yang perlu diambil oleh kementerian manakala satu lagi syor di bawah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Jabatan Perdana Menteri.

“Daripada enam syor ini, empat syor telah selesai dilaksana dan baki dua syor sedang dalam tindakan,” katanya semasa waktu pernyataan-pertanyaan bagi jawab lisan pagi ini di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan-soalan lisan empat ahli Parlimen secara bersekali iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar); Komander Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut); Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berhubung projek LCS.

Kata Mohamad, kementerian bagaimanapun sedang memberi penelitian khusus bagi memastikan projek LCS dapat diteruskan untuk memperkasa sistem pertahanan dan perairan negara.

“Kementerian sedang dalam fasa akhir untuk memuktamadkan penerusan projek melalui penyediaan memorandum jemaah menteri yang akan dibentang dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Pertahanan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM; Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), khususnya pihak Boustead telah melihat semula perancangan perolehan LCS.

Ia turut melibatkan Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan, Perdana Menteri (EPU), dan juga Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk meneruskan projek itu.

Katanya, kapal pertama LCS yang dijangka siap tahun hadapan, dijangka hanya mula beroperasi sekitar 2026 kerana perlu menjalani beberapa ujian dan penilaian terlebih dahulu.

“Selepas pembinaan LCS itu siap dibina di limbungan, ia perlu menjalani ujian penilaian di pelabuhan dan ujian penilaian di laut, yang mengambil tempoh antara 22 hingga 24 bulan. Sekiranya melepasi kedua-dua ujian itu, barulah LCS berkenaan diluluskan untuk digunakan TLDM.

“Saya sendiri lihat dalam gudang Boustead Naval Shipyard, semua sudah dibeli dan semua sudah ada. Untuk kapal pertama, enjin, kotak gear, bebaling sudah ada dalam kapal dan tinggal nak pasang alat pertahanan, persenjataan dan elektronik sahaja,” katanya.

PAC sebelum ini mendedahkan, tiada satu pun LCS milik TLDM disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus.

Setakat Ogos 2022 menurut jadual asal, sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan kepada TLDM.

PAC di dalam laporan prosidingnya sebelum ini mengesyorkan supaya laporan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan berhubung projek LCS dinyahklasifikasi. Ia sudah dilakukan pada Ogos 2022.

PAC turut mengesyorkan insiden perubahan pemilihan reka bentuk kapal LCS daripada SIGMA kepada GOWIND harus dijadikan pengajaran bagi perolehan pada masa hadapan.

Kementerian juga disyor supaya membentangkan perancangan perolehan ketenteraan substantif kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan melibatkan semua pihak berkepentingan demi kesiapsiagaan pertahanan negara.

Selain itu, kata PAC, pentadbiran kontrak kerajaan harus diperkemas untuk meminimum Arahan Perubahan Kerja (VO) bagi mengelakkan peningkatan kos projek dan SPRM perlu mengambil tindakan ke atas segala penemuan laporan PAC, laporan JKSTUPKK dan Laporan Pengauditan Forensik dengan kadar segera selain pendakwaan harus disegerakan.

PAC juga menyesyorkan bahawa Kementerian Pertahanan perlu melihat semula kesemua opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik bagi projek LCS dan memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab.

Kementerian Pertahanan juga perlu membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek LCS disempurnakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya