KUALA LUMPUR: Langkah pengurangan yuran permulaan bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kini sedang dipertimbang kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu dapat meningkatkan penglibatan golongan belia di luar bandar dan Orang Asli dalam TVET.
“Kita perlu memberi kesedaran yang lebih kepada penduduk luar bandar dan Orang Asli untuk terlibat bersama dan perlu melibatkan ibu bapa supaya mereka bertahan kekal dalam latihan TVET.
“Kalau ini dapat dipertimbangkan (yuran permulaan) untuk membantu mereka lebih ramai belia khususnya Orang Asli dapat terlibat latihan TVET,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), hari ini.
Terdahulu, Young Syefura Othman (PH- Bentong) meminta kerajaan menjelaskan inisiatif kerajaan mempertingkat belia dalam bidang TVET terutama belia di luar bandar dan Orang Asli.
Fadillah berkata, secara keseluruhannya TVET merangkumi semua kawasan di negara ini termasuk di luar bandar.
“Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Pendidikan Tinggi mengadakan program berhubung dengan TVET untuk Orang Asli memang ada program khusus dilaksanakan anjuran bersama Persatuan Orang Asli Perak yang mana Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Ipoh telah mengadakan program ini,” katanya. – UTUSAN