Noraini pertahan kerusi Ketua Wanita UMNO - Utusan Malaysia

Noraini pertahan kerusi Ketua Wanita UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerusi Ketua Wanita UMNO menyaksikan persaingan satu lawan satu di antara Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Hal ini setelah Noraini menjadi pemimpin kedua yang menyerahkan borang pencalonan Ketua Wanita pada hari ini selepas Shahrizat yang dilakukan minggu lalu.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu menyerahkan borang pencalonan di kaunter pendaftaran Pemilihan UMNO, Menara Dato Onn sebentar tadi.

Noraini adalah penyandang sebelum ini manakala Shahrizat yang pernah memegang jawatan itu membuat kemunculan semula.

Bagi kerusi Naib Ketua Wanita pula setakat ini menyaksikan dua persaingan termasuk penyandang sebelum ini, Datuk Norliza Abdul Rahim yang mempertahan jawatan untuk pemilihan parti akan datang.

Berbaki dua hari untuk mana-mana pemimpin UMNO yang berhasrat bertanding kerusi Ketua Wanita perlulah menghantar borang pencalonan menjelang Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad, setakat Rabu, pihaknya telah menerima 158 borang pencalonan nama bagi merebut semua jawatan yang membabitkan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi dan semua jawatan dalam Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Menurutnya, seramai 51 calon telah menghantar borang pencalonan bagi merebut 25 kerusi Majlis Tertinggi, dua calon Pengerusi Tetap dan enam calon Timbalan Pengerusi Tetap.

“Bagi Ketua Wanita UMNO sudah ada seorang calon, tiga calon Ketua Pemuda UMNO manakala Ketua Puteri UMNO enam calon menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan itu.

“Seorang calon mendaftar bagi Naib Ketua Wanita UMNO, empat calon Naib Ketua Pemuda UMNO dan tiga calon bagi Puteri manakala 44 calon Exco Wanita, 52 calon Exco Pemuda dan 27 calon Exco Puteri,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN