Menu Rahmah pelan jangka masa pendek

Menu Rahmah pelan jangka masa pendek

TIDAK dapat dinafikan Menu Rahmah yang diperkenal kerajaan membantu mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menu Rahmah hanyalah pelan jangka masa pendek untuk membantu rakyat berpendapatan rendah sedangkan apa yang perlu difokuskan adalah strategi meningkatkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, tidak dinafikan Menu Rahmah membantu mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah tetapi ia sukar bertahan lama.

Katanya, berdasarkan kajian, terdapat keluarga yang hanya mampu menyimpan RM90 daripada gaji mereka selepas ditolak semua perbelanjaan harian termasuk makanan untuk seisi keluarga.

“Jadi kewujudan Menu Rahmah ini dapat membantu mereka meningkatkan simpanan atau boleh digunakan untuk perkara lain.

“Namun rakyat perlu sedar bahawa Menu Rahmah hanya penyelesaian sementara untuk kurangkan perbelanjaan kerana kos sara hidup yang lain masih tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedia berbincang dengan kementerian lain mengenai pelaksanaan program Menu Rahmah yang dikhuatiri tidak mampu bertahan lama.

Ini susulan kegelisahan peniaga terhadap peningkatan harga bahan mentah, sekali gus memungkinkan program itu hanya bertahan dalam jangka masa pendek.

Ahmed Razman berkata, keuntungan juga berkurangan untuk peniaga kedai yang memperkenal Menu Rahmah yang menjadi antara penyebab inisiatif itu sukar bertahan.

“Saya percaya kerajaan akan mencari penyelesaian yang lebih komprehensif untuk menangani isu ini dalam pembentangan Bajet 2023.

“Pada masa sama, keluarga berpendapatan rendah perlu meningkatkan kemahiran mereka dan mencari pekerjaan lebih stabil untuk kualiti hidup yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN