Menu Rahmah mula jadi trend

Menu Rahmah mula jadi trend, lauk ikan patin atau baung serendah RM5

AZANAN Hassan menunjukkan sajian ikan patin masak asam pedas untuk Menu Rahmah di Kampung Buluh, Kuala Berang, Hulu Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang bekas tentera yang mengusahakan kedai makan di Kampung Buluh, Kuala Berang di sini menyediakan Menu Rahmah dengan sajian istimewa ikan patin atau baung masak asam pedas.

Azanan Hassan, 67, berkata, sajian ikan patin atau baung bersama sepinggan nasi, sayur dan air minuman dijual pada harga RM5.

Katanya, pelanggannya dalam kalangan berpendapatan rendah berpeluang menikmati sajian ikan patin atau baung tersebut dengan harga lebih murah.

Katanya, setiap hari salah satu daripada sajian tersebut disediakan kepada pelanggan.

“Bekalan ikan patin dan baung mudah diperoleh di sekitar daerah Hulu Terengganu kerana terdapat ramai penduduk yang menternak ikan tersebut,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, sebelum ini harga seketul ikan patin masak asam pedas dijual RM7 dan ikan baung pula RM8.

Selain itu katanya, antara sajian Menu Rahmah lain yang disediakan adalah nasi putih bersama seketul ayam atau ikan, sayur, sambal belacan serta ulam-ulaman.

Tambahnya, air minuman yang berbeza pada setiap hari juga disediakan secara percuma seperti sirap dan limau ais.

“Saya memperkenal Menu Rahmah sebagai usaha membantu golongan B40 dengan cara tersendiri walaupun keuntungan diperoleh kecil,” katanya.

Azanan berkata, Menu Rahmah yang disediakan itu diharapkan dapat menarik lebih ramai pelanggan terutama golongan kurang berkemampuan.

Tambahnya, pihaknya dapat menjimatkan kos membeli ulam-ulaman seperti ulam raja dan bayam Brazil kerana ditanam sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya