Malaysia-Jerman kukuhkan hubungan bilateral, kerjasama ekonomi

Malaysia-Jerman kukuhkan hubungan bilateral, kerjasama ekonomi

ANWAR Ibrahim dan Frank-Walter Steinmeier pada sidang akhbar sempena lawatan rasmi Presiden Jerman di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lawatan Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier ke Malaysia memberi makna cukup besar dalam mengukuhkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara ke peringkat lebih tinggi terutama dalam pentadbiran baharu kerajaan perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat menghargai kesudian pemimpin negara dari Kesatuan Eropah itu dalam meningkatkan kerjasama dalam beberapa bidang terutama isu perubahan iklim dan islamofobia.

Menurut beliau, Jerman merupakan rakan dagangan penting kepada Malaysia sejak sekian lama apatah lagi dalam aspek ekonomi mampu dilonjakkan lagi dengan persetujuan pelaburan baharu di negara ini.

“Lawatan ini memberikan penghormatan tinggi dari negara Jerman, dan saya amat berterima kasih atas kunjungan kepada pentadbiran kerajaan baharu Malaysia bagi pihak rakan-rakan Kabinet dan rakyat Malaysia seluruhnya.

“Kami juga menghargai persrtujuan syarikat dari negara Jerman untuk membuat pelaburan baharu di Johor dan kita turut membincangkan mengenai keprihatinan kita berhubung isu sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap produk sawit negara,” katanya dalam sidang akhbar bersama di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Terdahulu, Steinmeir tiba di Bangunan Perdana Putra pada pukul 5.15 petang bagi mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum kedua-duanya menyertai sidang akhbar secara bersama dengan media tempatan dan antarabangsa.

Semalam, Steinmeir dan isteri, Elke Budenbender serta delegasi termasuk pegawai kanan, ahli perniagaan dan pengamal media mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang bagi mengadakan lawatan rasmi sehingga esok.

Menerusi lawatan selama tiga hari itu, Steinmeier juga diberikan sambutan negara di pekarangan Bangunan Parlimen pagi tadi selain turut dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Sebelum ini, Kementerian Luar berkata, lawatan Steinmeier bakal memberikan peluang terbaik kepada Malaysia dan Jerman untuk mengukuhkan hubungan baik serta kerjasama pelbagai bidang antara kedua negara.

Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) di mana pada 2022, nilai pendapatan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 10.9 peratus dengan jumlah RM59.87 bilion berbanding RM53.99 bilion pada 2021.

Untuk rekod, lawatan negara terakhir melibatkan presiden Jerman ke Malaysia ialah 26 tahun lepas iaitu pada April 1997. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.