KUALA LUMPUR: Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak dua peratus melibatkan banjaran lebih RM35,000 hingga RM100,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan itu dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.
“Hal ini kerana golongan M40 menunjukkan kesabaran mereka meski terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam apabila selama ini golongan B40 sering diberikan pelbagai bentuk bantuan,” ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di sini semalam.
Justeru katanya, kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu yang memberi lebih manfaat kepada mereka.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga dua peratus melibatkan banjaran lebih RM100,000 hingga RM1 juta.
“Namun, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi. Melalui pendekatan ini, langkah ini melibatkan pengurangan hasil cukai bersih Kerajaan sebanyak RM900,000 untuk manfaat rakyat khususnya M40,” katanya.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, kerajaan pada tahun ini menyediakan sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif.
Menurutnya, sejumlah besar dana itu adalah untuk meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan memberi perkhidmatan kepada rakyat terbanyak.
Katanya, Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan Konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan dalam menimbang usaha menangani kenaikan kos sara hidup.
“Salah satunya ialah Inisiatif Menu Rahmah yang menganjurkan jualan set hidangan pada harga hanya RM5. Alhamdulillah Inisiatif Menu Rahmah ini dijangka akan terus menerima sambutan Yang baik daripada pengusaha makanan dan rakyat.
“Kerajaan amat berterima kasih kepada semua peniaga; walau dengan keuntungan kecil tapi tetap bersama membantu rakyat. Semoga ini menjadi teladan untuk semua,” katanya.
Tambah Anwar lagi, Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran akan dilaksanakan di 222 Parlimen seluruh negara.
Katanya, kerajaan menyediakan RM100 juta untuk menjayakan program itu di samping kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan daripada RM200 juta kepada RM225 juta bagi memperluas program pengedaran barangan keperluan asas ke 25 kawasan baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak, Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan. – UTUSAN










