Kumbahan lembu bukan sebab Sungai Lereh tercemar

Kumbahan lembu bukan sebab Sungai Lereh tercemar

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan muara Sungai Lereh, Melaka bertukar warna hitam gelap. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rata-rata penduduk sekitar Sungai Lereh di sini menolak dakwaan pencemaran sungai itu yang berlaku Sabtu lalu, sehingga warna air bertukar hitam dan berbau busuk berpunca daripada kumbahan najis ternakan lembu di Kampung Bukit Belian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya Rumput, Mohamad Abd. Rahman, 61, berkata, mereka percaya pencemaran itu disebabkan sisa-sisa dari Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang.

“Tidak mungkin air najis ternakan menjadi punca hingga menyebabkan air Sungai Seberang Gajah dan Sungai Lereh hingga ke muara bertukar menjadi hitam dan berbau busuk,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang memaklumkan, laporan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati, sampel air sungai menunjukkan pencemaran berpunca daripada kumbahan lembu dan bukannya dari Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang.

Ban Hong berkata, JAS dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan melakukan operasi bersepadu untuk meninjau kolam kumbahan di ladang ternakan itu dan melihat pengendaliannya.

Menurutnya, ia bertujuan memastikan air najis ternakan tidak lagi dibuang tanpa dirawat ke Sungai Seberang Gajah dan seterusnya masuk ke Sungai Lereh.

Sementara itu, pemilik ladang ternakan di Kampung Bukit Belian, Ah Seng mengesahkan, JAS telah datang menemuinya dan memberi amaran supaya tidak membuang sisa kumbahan ke dalam sungai.

Katanya, dia turut diarahkan menutup longkang aliran kumbahan daripada terus masuk ke Sungai Seberang Gajah.

“Saya sendiri terkejut dengan aduan mengatakan air najis dari ladang ternakan lembu saya menjadi punca air Sungai Lereh bertukar warna hitam dan berbau busuk, sebab saya hanya bela 90 ekor lembu,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.