Konsert Raihan bertaraf antarabangsa

Konsert Raihan bertaraf antarabangsa

KONSERT Garis Masa Raihan di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Persembahan bertaraf antarabangsa.’ Itu reaksi spontan kebanyakan penonton yang hadir menyaksikan Konsert Garis Masa Raihan yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.

Raihan yang dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim mempersembahkan 21 lagu hits tanpa lelah, diiringi susunan muzik yang mantap serta disuntik beberapa elemen baharu.

Antara kelainan yang disajikan adalah menerusi lagu Assolatuwassalam yang disampaikan dalam bentuk acapella diiringi beatbox, Wahai Kawan-Kawan dengan suntikan rock; sekali gus menyaksikan susunan muzik yang berbeza.

Konsert ini cukup elemen rempah-ratusnya, malah tidak terasa bosan apabila Raihan turut menyelitkan lagu pelbagai bahasa seperti Ching Ai Ching Ai (Cina), Allahu (Tamil) dan Bit Taqwa (Arab).

Lagu-lagu lain yang didendangkan adalah Peristiwa Subuh, Nabi Anak Yatim, Damba Cintamu, Sifat 20, Rayuan Rindu dan kemuncak persembahan ditutup dengan lagu Iman Mutiara.

Barisan pemuzik yang dijemput juga bukan calang-calang antaranya pemain perkusi terkenal dunia, Steve Thornton dan Rody Kristal selaku gitaris.

Penonton juga terbuai dengan tiupan seruling oleh Faliq Auri, kelunakan bunyi alat muzik tradisional dan dram yang memacu adrenalin pendengar.

Raihan tidak mensia-siakan kehadiran lebih 3,000 peminat yang membanjiri stadium dengan mempamerkan konsep persembahan luar biasa yang dilengkapi set pentas bertaraf antarabangsa.

Hampir kesemua lagu Raihan boleh dinyanyikan bersama dan liriknya meniti di setiap bibir penonton yang membesar dengan lagu-lagu dakwah, ketuhanan dan mengandungi mesej positif.

Tanpa perlu komunikasi berjela, kumpulan legenda ini ‘meracun’ penonton dengan susunan dan gubahan muzik segar.

Kejayaan ini juga didorong pengalaman Raihan yang sudah bertapak dalam industri seni sejak 27 tahun lalu, selain jenama yang sudah sinonim dengan konsert di luar negara.

Mungkin ada yang beranggapan tanpa vokalis utama, Nazrey Johani, Raihan tetap mampu menyampaikan setiap lagu dengan baik.

Namun, tanpa suara Nazrey, persembahan Raihan ibarat hidangan ‘teh kurang gula’. Tidak boleh disangkal setiap lagu Raihan pasti dibayangi suara vokalis asal.

Roh, penghayatan dan kualiti vokal Nazrey tidak sama seperti suara anggota lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.