Khatan suburkan tradisi, budaya Melayu

Khatan suburkan tradisi, budaya Melayu

KANAK-kanak yang menyertai program berkhatan turut diarak dengan iringan tiupan tetuang iaitu sejenis instrumen tradisional Melayu pada Program Berkhatan Percuma Untuk Keluarga Asnaf dan B40 di Masjid Dato’ Klana Petra Sendeng dekat Ampangan, Seremban– UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Adat berkhatan yang menjadi tradisi dan budaya orang Melayu sejak zaman berzaman perlu disuburkan walaupun proses itu kini menggunakan kaedah perubatan moden.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, adat seperti menepung tawar, berendam dan diarak boleh dilaksanakan sebelum seorang kanak-kanak itu dikhatan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri berkata, tradisi itu akan bertambah meriah dalam program berkhatan secara beramai-ramai.

“Berkhatan adalah peristiwa bersejarah yang akan menjadi kenangan seumur hidup bagi seorang kanak-kanak. Kenangan itu menjadi semakin kuat jika ia dilaksanakan mengikut adat dan tradisi orang Melayu seperti bersiram, diarak dan ditepung tawar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Program Berkhatan Percuma Untuk Keluarga Asnaf dan B40 di Masjid Dato’Klana Petra Sendeng dekat Ampangan di sini semalam.

Seramai 46 orang kanak-kanak berusia antara tiga hingga 13 tahun menyertai program anjuran bersama Hospital Pakar KPJ Se­remban, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan Pejabat ADUN Ampangan itu.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau-Wilayah 1 KPJ, Maisarah Omar.

Mohamad Rafie menambah, minat masyarakat terhadap tradisi dan budaya Melayu boleh dilihat dengan jelas apabila ramai yang mengambil gambar dan video program tersebut.

“Masyarakat amat menghargai tradisi dan budaya yang diaba­dikan dalam simpanan gambar atau video untuk ditonton semula berulang kali,’’ ujarnya.

Dalam program semalam kanak-kanak berkenaan di tepung tawar, diarak dengan iri­ngan tiupan tetuang iaitu sejenis instrumen tradisional Melayu sebelum bersiram dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampangan.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya