Kesalahan sepanjang Op TBC 2023 di Perak catat penurunan - Utusan Malaysia

Kesalahan sepanjang Op TBC 2023 di Perak catat penurunan

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin dalam sidang akhbar ketika melawat Pejabat JPJ Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kes kesalahan jalan raya sepanjang Operasi Tahun Baharu Cina (Op TBC) 2023 di negeri ini mencatat penurunan berbanding operasi yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, sebanyak 1,150 kesalahan direkodkan membabitkan 8,894 kenderaan sepanjang penguatkuasaan Op TBC 2023 di negeri ini bermula 18 Januari lepas.

“Operasi yang dijalankan dalam tempoh 10 hari itu menunjukkan penurunan kes kesalahan di jalan raya berbanding tahun 2022 yang merekodkan 1,607 kesalahan membabitkan 10,143 kenderaan.

“Penguatkuasaan dibuat seiring dengan matlamat mengurangkan kadar kemalangan sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang tahun 2030 berdasarkan Resolusi Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang melakukan lawatan kerja di Pejabat JPJ Perak hari ini berkata, pelaksanaan kempen kesedaran jalan raya dan mempergiat penguatkuasa terhadap peraturan lalu lintas, dapat mengurangkan statistik kematian akibat kemalangan.

Menurutnya, cara demikian bukan sahaja dapat menurunkan kadar kemalangan malah dapat mengelakkan risiko yang melibatkan nyawa.

“Kita nak rakyat rasa selamat apabila menggunakan jalan raya di Perak namun kadangkala struktur jalan yang tidak baik juga menjadi faktor kemalangan tetapi kerajaan negeri dan JPJ akan bekerjasama menyelesaikan isu tersebut,” katanya.

Menurutnya, bagi merealisasikan sasaran penurunan 50 peratus kemalangan jalan raya, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) telah merancang dan menyelaras strategi berkaitan keselamatan jalan raya dan melaksanakan kempen kesedaran jalan raya bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya.

“Selain mengurangkan statistik kematian akibat kemalangan melalui mempergiatkan penguatkuasaan terhadap peraturan lalulintas, libat urus bersama pemegang taruh dalam program pendidikan, advokasi dan intervensi mengenai keselamatan jalan raya dan menjadikan jalan raya selamat kepada semua pengguna,” katanya.

Mohammad Nizar turut meminta pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika musim perayaan.

“Tidak lama lagi kita akan merayakan Thaipusam dan Hari Raya Aidilfitri. Perayaan ini akan menyebabkan orang ramai menggunakan jalan raya.

“JPJ dan MKJR bertanggungjawab memastikan kesedaran ini dijiwai oleh semua pengguna jalan raya supaya kita dapat pertingkatkan keselamatan dan mengurangkan musibah di jalan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya