Kerenah birokrasi jabatan kerajaan tiada kesudahan - Utusan Malaysia

Kerenah birokrasi jabatan kerajaan tiada kesudahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerenah birokrasi yang tiada kesudahan dalam jabatan atau agensi kerajaan dilihat menjadi salah satu punca kepada masalah bekalan makanan di negara ini.

Malah ia juga mengakibatkan rakyat menjadi mangsa kepincangan sistem penyampaian kerajaan ekoran kegagalan pengurusan terutama dalam memudahkan pemberian bantuan kepada penerima manfaat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, agropreneur muda ternakan ruminan, Muhamad Abbas Gulam Manaver memohon campur tangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu kerana mendakwa dirinya tidak berkesudahan diperdaya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dengan menafikan kemudahan dan insentif yang disediakan kerajaan.

Lulusan sarjana muda dari universiti tempatan, Muhamad Abbas, 29, menceburkan diri dalam bidang ternakan lembu sejak Julai 2017 di kawasan seluas lapan hektar di Bidor, Perak.

Beliau hanya menerima geran agropreneur muda bernilai RM20,000 daripada kementerian itu untuk membeli lembu pada 2019 bagi meneruskan usaha penternakan yang sebelum ini diusahakan bapanya sejak 1995.

Sedangkan, setiap penternak perlu dipastikan cukup rumput dan infrastruktur lain sebelum diberikan geran RM20,000 untuk membeli lembu di bawah Unit Agropreneur Muda.

Bagaimanapun selain peruntukan itu, beliau tidak diberikan sebarang insentif lain kecuali khidmat nasihat biasa dan rawatan tahunan lazim yang wajib dilaksanakan JPV.

Kisah Muhammad Abbas pernah disiarkan Utusan Malaysia pada Mei tahun lalu mengenai duka lara bapanya, Gulam Manaver Mobarak Ali yang telah membentangkan pelbagai kesukaran yang dihadapi mengusahakan penternakan di kawasan sama dalam mesyuarat khas di Putrajaya pada 10 Jun 2008, dipengerusikan ketua setiausaha ketika itu, Datuk Dr. Zulkifli Idris.

Selepas itu terdapat mesyuarat lain diadakan bersama pada 2015 dengan pihak JPV, kemudian pada Januari dan April 2022 iaitu hanya selepas 14 tahun daripada mesyuarat pada 2008 itu, Muhammad Abbas dijemput menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPV mengenai isu lembu ganti kepada bapanya.

Namun sekali lagi perkara itu masih tidak juga dimuktamadkan sehingga kini, malah dimaklumkan pada mesyuarat berkenaan bahawa beliau tidak layak memperoleh bantuan benih rumput daripada JPV atas alasan tidak menternak di padang ragut yang dikawal selia JPV.

“Mana pergi insentif kepada pengeluar makanan? Duit itu banyak tetapi tak sampai kepada penternak.

“Benih rumput import brachiria decumben dan brachiria humadicola tersimpan mereput dalam stor-stor JPV negeri-negeri. Berikanlah kepada penternak, bukan utk disimpan,” katanya.

Muhamad Abbas juga melahirkan rasa sedih sekian lama isu ini berlarutan, tidak pernah ketua pengarah atau pengarah JPV Perak turun padang berjumpa bapanya atau dia sendiri di lapangan.

“Saya rasa JPV memperdaya dengan mengubah-ubah peraturan. Penternak mesti akur dengan mutu perkhidmatan atau sebarang bantuan yang disediakan – jika diberi ambil, jika tidak diam.

“Budaya penafian dalam kalangan pegawai begitu tebal,” katanya di sini semalam.

Muhammad Abbas berkata, beliau bagaimanapun sedar ada ramai pegawai bersikap bertanggungjawab untuk membantu penternak, namun terpaksa akur dengan budaya penafian yang terpahat kukuh di kementerian.

“Bagi sesetengah mereka keputusan yang dibuat di bilik-bilik mesyuarat mesti dipatuhi tanpa mempedulikan kualiti dan kesan kepada penternak serta kedaulatan makanan negara.

“Jika diadu, jabatan tiada simpati mengambil tahu secara bersungguh-sungguh sama ada perkara itu betul atau tidak. Kelemahan pegawai dan ketidakadilan agihan bantuan dipertahankan oleh kementerian,” jelasnya.

Beliau berkata, akibat tidak mengambil tahu keadaan sebenar di lapangan dengan berkesan oleh kementerian terlibat, ia menjadi punca Malaysia tidak maju dalam bidang pertanian walaupun memperoleh peruntukan berbilion ringgit pada setiap tahun.

Sungguhpun rayuan demi rayuan dibuat, rombongan dari Putrajaya, negeri dan daerah datang melawat ladangnya, namun apa yang menghairankan, mereka beredar dan tiada tindakan susulan sewajarnya selepas mendengar penerangan.

“Saya menjadi keliru adakah tugas mereka sekadar datang dan pergi tetapi tidak melakukan apa-apa yang membina? Apakah fungsi sebenar JPV diwujudkan?

“Tiada faedah melancarkan pelbagai dasar sekuriti makanan jika usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan jabatan tidak diberikan perhatian,” katanya.

Muhamad Abbas berharap, menteri baharu yang menerajui kementerian ini dapat meneliti 10 kilogram surat yang ditulis dan diterima oleh bapanya sejak 1995, termasuk e-mel, gambar dan pelbagai dokumen berkaitan duka lara sebagai penternak di Padang Ragut Bidor, Perak.

Dokumentasi itu mengandungi banyak rahsia kegagalan negara dalam memajukan industi ternakan lembu dan tenusu walaupun negara akan mencapai kemerdekaan Ke- 66 tahun Ogos ini.

Pihaknya turut menyerahkan dokumen setebal 71 muka surat ditujukan kepada Mohamad Sabu pada 9 Januari lalu dan salinannya turut diberikan kepada Ketua Setiausaha, Datuk Lokman Hakim Ali pada 25 Januari lalu supaya isu ini dapat diselesaikan kepemimpinan MAFS.

Bagaimanapun, tidak ada maklum balas diterima sehingga kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya