Kerajaan teliti semula draf terkini rang undang-undang Majlis Media Malaysia 

Kerajaan teliti semula draf terkini rang undang-undang Majlis Media Malaysia 

FAHMI Fadzil dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Jelajah Saya Digital anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Draf cadangan rang undang-undang untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia sedang diteliti semula supaya sesuai dengan perubahan semasa. 

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau sudah mengarahkan Timbalannya, Teo Nie Ching untuk membuat penelitian itu meskipun draf berkenaan dikatakan sudah siap dan diserah kepada kerajaan sebelum ini. 

“Mungkin keadaan sudah sedikit berbeza dan sudah ada perbincangan (mengenai Majlis Media), cuma saya belum mendapatkan maklumat terkini daripada pihak yang terlibat lagi. 

“Yang penting bagi saya, ia bukan aspek kebajikan bagi wartawan atau pengamal media sahaja, tetapi suasana itu ada. Ada yang berpandangan jika majlis ini dibentuk oleh kerajaan, maka ia akan bersifat berbeza berbanding  diwujudkan secara bebas. 

“Jadi, perkara ini yang kami sedang pertimbang. Apapun, apabila tiba masanya nanti kami akan umumkan,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, di sini hari ini. 

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Saya Digital anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). 

Program itu bertujuan mewujudkan kesedaran tentang teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar yang memberi peluang sama rata kepada rakyat di kawasan bandar dan luar bandar.

Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) wajar bagi mengekang isu penyebaran berita palsu dan meningkatkan kualiti pelaporan berita oleh agensi media dalam negara.

Pada 5 Disember tahun lalu, Fahmi berkata dia perlu mendapatkan perincian berhubung cadangan tersebut daripada pengiat industri media khususnya persatuan wartawan.

Media Malaysia telah berjuang sejak 1974 lagi supaya dibentuk sebuah badan kawal selia yang mengatur industrinya, sama seperti kerjaya guaman melalui Majlis Peguam dan profesion perubatan dengan Majlis Perubatannya.

Rang undang-undang yang dicadangkan itu akan memerlukan majlis media untuk menyediakan tatalaku, peluang pembangunan profesional dan pentauliahan kepada wartawan. Ia turut menyediakan mekanisme aduan media dan pendidikan celik media untuk orang ramai.

Cadangan itu juga menggesa supaya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dimansuh bagi memberi jalan penubuhan majlis media berkenaan.

Cadangan berkenaan mengatakan majlis media bakal dipengerusi seorang bekas hakim yang tidak berpihak secara politik dan terdiri daripada 24 anggota; 12 penerbit media dalam talian; media cetak dan media penyiaran; empat wakil persatuan media; empat wartawan dan empat orang awam yang dilantik exco majlis media. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.