Kerajaan sasar pendapatan pekebun kecil RM4,500 sebulan 

Kerajaan sasar pendapatan pekebun kecil RM4,500 sebulan 

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) beramah mesra bersama pegawai dan kakitangan Risda sebelum memulakan sidang Taklimat Program Pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Ibu Pejabat Risda, Ampang. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan pekebun kecil akan mempunyai pendapatan melebihi RM4,500 seisi rumah bagi sebulan menerusi transformasi pembangunan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) terutamanya penstrukturan semula Risda Holdings.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sempena 50 tahun penubuhan Risda, transformasi harus dilaksanakan bagi memastikan usahawan dapat diwujudkan dalam kalangan pekebun getah justeru mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

“Kita harus melihat aspek baharu yang boleh kita kemas kini terutamanya bagaimanakah getah terus menjadi bahan untuk industri yang berkaitan kerana ini merupakan persaingan dengan getah sintentik.

“Getah bukan satu komoditi industri yang merosot, tetapi harus dilakukan transformasi bagi menjadikannya industri yang terus maju ke hadapan.

“Hampir 500,000 pekebun kecil merupakan penyumbang kepada eksport getah asli negara kita iaitu 87 peratus eksport getah asli datang daripada pekebun kecil manakala selebihnya ladang-ladang. 

“Ini memperlihatkan sumbangan pekebun kecil khususnya dibawah Risda sudah menjadi satu sektor penyumbang besar kepada ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas selepas menghadiri taklimat Program Pembangunan Risda di sini hari ini. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penstrukturan semula Risda Holdings juga boleh mewujudkan usahawan dalam kalangan pegawai dan kakitangan syarikat.

Katanya, ini kerana ia dilihat cara terbaik iaitu memberikan peluang kepada mereka untuk menguruskan sendiri anak syarikat dengan berkonsepkan pembelian pengurusan atau ‘management buyout’.

“Jadi kaedah terbaik adalah memberikan peluang kepada mereka untuk menguruskan sendiri, di samping kos operasi dapat dikurangkan.

“Matlamat kami kini adalah untuk mengeluarkan pekebun kecil daripada kepompong garis kemiskinan, bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi sahsiah,” katanya.

Berhubung bajet untuk Risda, Ahmad Zahid berkata, seboleh mungkin pihaknya memohon penambahan bajet.

“Namun, sedar kekangan kewangan kini, oleh sebab itu sudah disarankan penstrukturan semula bagi melakukan transformasi.

“Ini selari dengan pemikiran dan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melakukan pengurangan kos secara efektif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya