Kerajaan rangka polisi perkasa pelaburan berteknologi, impak tinggi  - Utusan Malaysia

Kerajaan rangka polisi perkasa pelaburan berteknologi, impak tinggi 

ANWAR Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat. - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan merangka beberapa polisi yang menyeluruh bertujuan merancakkan pelaburan sektor berteknologi dan berimpak tinggi selaras dengan Dasar Pelaburan Baharu.

Dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk usaha Invest Malaysia Council dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) mempercepat kelulusan projek-projek pelaburan berpotensi tinggi.

Pada masa sama, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan diperkasa sebagai unit pemudah cara iklim pelaburan dan persekitaran perniagaan.

“Kerajaan akan menambah baik prosedur menjalankan perniagaan bagi mengurangkan birokrasi termasuk memberikan insentif kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang memudah cara pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan bagi memastikan usaha pelaburan dapat dipercepat,” katanya dalam pembentangan belanjawan tersebut di Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata, kajian Bank Negara (BNM) menunjukkan, manfaat pelaburan langsung asing (FDI) semakin mengecil ekoran ketersediaan insentif yang tinggi dan pelaburan bernilai tambah rendah. 

Justeru katanya, evolusi insentif di Malaysia diperlukan untuk menyokong kegiatan ekonomi.

“Sebuah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan diumumkan pada suku ketiga 2023 untuk melakar hala tuju pembangunan perindustrian yang bertumpukan aktiviti berkualiti tinggi dan pengambilan bakat tempatan.

“Selari dengan Pelan ini, agensi promosi pelaburan dan insentif pelaburan akan distruktur semula ke arah kadar cukai berperingkat berasaskan hasil seperti mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, mendalami rantaian bekalan dengan firma tempatan dan mewujudkan kelompok industri baharu.

“Pemantauan pelaburan yang menerima insentif juga akan diperkasa untuk memastikan manfaat yang diharapkan dapat diperoleh sepenuhnya oleh negara dan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya