PETALING JAYA: Penduduk Putra Harmoni di Putra Heights merayu supaya kerja-kerja baik pulih rumah mereka yang rosak akibat tragedi letupan paip gas pada April lalu disegerakan.
Ia bagi membolehkan mereka pulang ke kediaman masing-masing secepat mungkin.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Francis Koh mendakwa, kemajuan baik pulih rumah yang telah bermula sejak 4 Julai lalu amat perlahan apabila kontraktor hanya menumpukan kepada unit yang mengalami kerosakan teruk.
“Sehingga kini, di Jalan Putra Harmoni 1/3A hingga 1/3D, hanya tujuh daripada 22 unit yang rosak teruk sedang dibaiki melibatkan pemasangan semula genting, struktur bumbung dan bahagian dalaman rumah.
“Bagaimanapun, arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya pemaju tidak membaiki bahagian tambahan rumah asal menimbulkan kesukaran besar kepada penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, keputusan itu menyebabkan air hujan menembusi sambungan antara struktur lama dan baharu serta berpotensi merosakkan semula bahagian yang telah dibaiki.
“Keadaan ini bukan sahaja mencacatkan pandangan malah membebankan penduduk yang terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menampung kos baik pulih tambahan,” jelasnya.
Francis mendakwa, kelewatan juga berlaku apabila KPKT meminta penilaian terperinci dilakukan terhadap kerosakan genting dan rangka bumbung sebelum kerja diteruskan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan proses tergendala hampir tiga bulan.
“Pakar dari Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan pengilang genting mengesahkan bahawa kedua-dua komponen itu perlu diganti. Namun, pemaju hanya melakukan ‘pembaikan setempat’, seolah-olah menampal kerosakan,” katanya.-UTUSAN.










