Kera, anjing liar cemari Muzium Lukut

Kera, anjing liar cemari Muzium Lukut

SISA makanan yang diberikan kepada kera-kera liar jelas kelihatan di tepi-tepi jalan utama berhampiran Muzium Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Perbuatan segelintir pihak memberi makanan kepada sekumpulan kera mengundang masalah kepada pihak Muzium Lukut apabila kemudahan yang terdapat di situ dirosakkan.

Ketua Muzium Lukut Jabatan Muzium Malaysia, Faris Akmal Ali berkata, kemunculan haiwan itu dari hutan berhampiran turut menyebabkan kawasan muzium dikotori sisa makanan yang diberikan kepadanya.

“Ada masyarakat yang kurang kesedaran dengan memberi makan kepada kera-kera ini di tepi-tepi jalan utama di hadapan muzium ini pada setiap petang.

“Keadaan ini menyebabkan haiwan liar ini yang datang dari atas bukit Kota Lukut turun dan melintasi pekarangan muzium untuk ke kawasan yang biasa mereka mendapatkan makanan. Pada waktu itulah monyet-monyet ini merosakkan kemudahan di muzium termasuk lampu jalan.

“Haiwan ini tahu pada setiap petang pasti ada orang yang memberi makan, apabila banyak makanan yang ada, ia akan menjadi sampah dan timbul pula masalah pencemaran. Ini sudah tentu menjejaskan imej Muzium Lukut sebagai tarikan pelancongan di daerah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

KELIHATAN seorang lelaki yang memberi makanan kepada kera liar di tepi jalan utama berhampiran Muzium Lukut, Port Dickson.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Beliau berkata, aduan ada dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) namun masalah berkenaan masih berlarutan.

“Sebelum ini mereka ada meletakkan sangkar perangkap namun mereka ambil semula sedangkan masalah kehadiran kera liar ini belum selesai. Saya tidak tahu mengapa mereka ambil semula sangkar berkenaan,” katanya.

Sementara itu, menurut Faris Ikmal, pihak muzium menghadapi isu kehadiran anjing-anjing di liar yang banyak di kawasan berkenaan.

“Anjing-anjing ini pada mulanya dipelihara penduduk di taman perumahan berhampiran namun ia cepat membiak dan ada penduduk yang membuang anak-anak anjing di beberapa kawasan berdekatan dengan muzium.

“Keadaan ini mengakibatkan ada kalanya anjing-anjing berkenaan memasuki kawasan pekarangan muzium. Ia membimbangkan terutama berkaitan faktor keselamatan pengunjung,” katanya yang berharap pihak orang ramai dapat memberikan kerjasama supaya isu berkenaan tidak terus berlarutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya