Kamya Fest rugi, Erna Elliyana kecewa dipersalahkan - Utusan Malaysia

Kamya Fest rugi, Erna Elliyana kecewa dipersalahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengasas Kamya Glow, Erna Elliyana Rosli, meminta orang ramai berhenti mengecam dan melemparkan tohmahan kepada pihaknya berhubung kontroversi penganjuran Kamya Fest, baru-baru ini.

Menurut Erna, dia kesal kerana kecaman dan tuduhan yang dilemparkan menjejaskan reputasi jenama tersebut, susulan acara yang berlangsung di pekarangan Stadium Bukit Jalil pada 10 hingga 12 Februari lalu.

Jelas Erna, pihaknya cuma bertindak sebagai penaja utama Kamya Fest dan mengeluarkan kos melebihi RM445,000 untuk menjayakan festival tersebut.

“Kami kesal dengan segala kecaman dan tohmahan yang dilemparkan di media sosial kerana menjejaskan reputasi serta nama baik Kamya.

“Sasaran kami untuk mendapatkan 50,000 pengunjung tidak berjaya selepas tular beberapa isu pada hari pertama. Hal tersebut menyebabkan kami kerugian separuh daripada jumlah yang dilaburkan untuk acara tersebut,” katanya.

Erna berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri peguam dari Hakem Arabi & Associate, Ganesh Magenthiran dan Pengarah Alpha Negaya Sdn Bhd, Jay Fadaak.

Erna mengakui kecewa apabila terpaksa menanggung kerugian lebih RM200,000, selain berdepan pelbagai kecaman yang memberi kesan kepada jualan produknya.

“Terus-terang, kami telah laburkan sebanyak RM445,000 untuk penganjuran festival ini, namun pulangan yang kami terima tidak memberangsangkan.

“Perkara ini benar-benar menghampakan kami kerana bukan mudah untuk membina nama dalam bidang perniagaan. Kami ambil masa dua tahun untuk kukuhkan kedudukan,” katanya.

Dalam pada itu, Erna memberi tempoh dua minggu kepada pempengaruh media sosial, vendor dan netizen supaya menurunkan semua hantaran berbaur kecaman dan ugutan, bermula hari ini.

“Saya bukan wanita yang mudah emosi. Tetapi, kalau hari-hari dilemparkan dengan cacian, saya juga terkesan.

“Jadi, saya meminta semua pihak yang membuat kenyataan negatif terhadap Kamya Fest tempoh hari untuk memadam hantaran berkenaan.

“Jika gagal berbuat demikian, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Kamya Fest terpalit kontroversi apabila pengunjung tidak berpuas hati dengan bayaran tiket masuk, selain pelbagai rungutan lain berhubung perjalanan acara tersebut.

Festival tersebut turut disertai rakan-rakan artis termasuk Shuib, Bella Astillah, Alyah, Dolla, Nana Mahazan, Nabila Huda, Ayie Floor 88, Nadia Brian, Syura Badron dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN