Kampus induk UMS berhadapan kekurangan bekalan air

Kampus induk UMS berhadapan kekurangan bekalan air

LORI tangki yang digunakan untuk bekalkan air terawat di kampus induk UMS di Kota Kinabalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan air di semua kolej kediaman dan bangunan di dalam kampus induknya.

Susulan itu, pihak universiti mengambil inisiatif membekalkan air terawat menggunakan lori tangki yang disewa bagi mendapatkan bekalan air di Loji Rawatan Air Moyog, Penampang sehingga 20 kali penghantaran dengan anggaran kapasiti 300,000 liter sehari.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pada masa ini kampus induk universiti berkenaan memerlukan sekitar 3 juta liter sehari (MLD) hingga 5 MLD sehari untuk menampung keperluan air terawat di dalam kampus.

Loji Rawatan Air (LRA) Telibong, Tuaran tidak mampu memenuhi keperluan bekalan air di sekitar Tuaran termasuk UMS yang pada masa ini memerlukan 190 MLD, berbanding pengeluaran air terawat iaitu sekitar 164 MLD.

Berdasarkan pertemuan bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), pihak jabatan memaklumkan mereka berhadapan kes kecurian atau kehilangan bekalan air sehingga 8 MLD.

“Secara ringkasnya, bekalan air terawat daripada LRA Telibong sememangnya adalah tidak mencukupi.

“Walau bagaimanapun, maklumat yang diterima daripada JANS memaklumkan bahawa isu gangguan bekalan air terawat ini dijangka selesai sepenuhnya pada tahun 2024.

“Justeru, buat sementara waktu, JANS terpaksa membuat catuan bekalan air yang menyebabkan seluruh kawasan yang menerima bekalan air terawat daripada LRA Telibong terkesan. Kampus induk UMS yang terletak di Sepanggar juga turut terkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kasim berkata, UMS turut mengambil beberapa inisiatif bagi mengatasi masalah bekalan air ini dengan menyediakan tangki-tangki tambahan di luar kolej-kolej kediaman yang lengkap dengan sistem pam dan perpaipan.

Di samping itu, pihak universiti juga memasang paip bagi mendapatkan bekalan air daripada sumber air bukit dengan kapasiti 80,000 liter sehari.

“Pihak UMS juga telah mengenalpasti punca air bukit lain dan akan membuat perpaipan baharu bagi penyaluran air bukit untuk kegunaan pelajar. Untuk jangka masa panjang, UMS akan menggunakan sumber air telaga yang akan dilengkapi dengan sistem rawatan,” katanya.

Jelas beliau, langkah yang diambil itu mungkin bukan penyelesaian menyeluruh namun, UMS amat komited untuk mengurangkan impak catuan bekalan demi keselesaan pelajar dan warga kampus induknya. –utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya