Jurutera JKR didakwa atas 11 pertuduhan AMLA - Utusan Malaysia

Jurutera JKR didakwa atas 11 pertuduhan AMLA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan menipu serta menerima rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM131,600.

Bagaimanapun, Izwan Mashuri, 40, yang berjawatan Jurutera Awam Cawangan Kejuruteraan Cerun meminta dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim-Hakim Suzana Hussain, Rozina Ayob dan Azura Alwi.

Di hadapan Rozina, tertuduh didakwa atas 11 pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam pengubahan wang haram melalui pemindahan wang berjumlah RM68,600.

Menurut pertuduhan, Izwan didakwa mengarahkan seorang lelaki memindahkan wang hasil aktiviti haram dari akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik SBR Consultant ke akaun Malayan Banking Berhad milik seorang wanita.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di antara 9 Mac 2021 dan 2 Disember 2021 di Bank Islam Malaysia Berhad, Cawangan Selayang di Lot 150A, 152A & 154A, Bangunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, KM12, Off Jalan Ipoh, Batu Caves di sini.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(I) akta sama.

Oleh demikian, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Izwan turut didakwa atas pertuduhan rasuah menerima RM43,000 daripada seorang lelaki menerusi akaun CIMB Bank milik Normas Resources ke akaun Bank Islam milik SBR Consultant.

Suapan itu didakwa sebagai upah mencadangkan pelantikan Normas Resources dan Muzud Enterprise sebagai sub kontraktor kepada Pintas Utama Sdn. Bhd. bagi kontrak projek penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.

Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Izwan turut didakwa memperdaya seorang lelaki kononnnya dia boleh mencadangkan Paradigm Jitu Enterprise mendapatkan kerja perunding reka bentuk bagi projek penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri Semenanjung Malaysia kepada Pintas Utama Sdn Bhd.

Tindakannya itu didakwa mendorong lelaki tersebut menyerahkan RM20,000 ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik syarikat SBR Consultant.

Bagi kesalahan menipu, pendakwaan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam cawangan sama di antara 7 Februari dan 24 Mac 2021.

Pada prosiding di hadapan Rozina dan Azura, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nor Diana Nor Azwa memohon tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Di hadapan Suzana pula, TPR Aznika Mohd. Anas mengesyorkan Izwan diikat jamin RM50,000 dengan syarat sama atas tuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, peguam bela Nur Faida Mohd Rashidee memohon jaminan minimum kerana anak guam sudah digantung kerja.

“Sekarang isterinya bekerja sebagai pelukis pelan dengan gaji RM3,000 sebulan dan perlu menanggung tiga anak serta ibu bapa,” katanya.

Ketiga-tiga mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM53,000 terhadap tertuduh dengan syarat tambahan seperti yang dipohon oleh pendakwaan manakala tarikh 20 dan 21 Mac serta 6 April ini untuk sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.