Jumlah ibu tunggal di Terengganu meningkat - Utusan Malaysia

Jumlah ibu tunggal di Terengganu meningkat

ZURAIDA MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Jumlah ibu tunggal yang direkod di Terengganu menunjukkan peningkatan seramai kira-kira 10,000 orang dalam tempoh tiga tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md. Noor berkata, berdasarkan  statistik terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan seramai 43,471 orang ibu tunggal direkodkan pada tahun 2020 berbanding 35,000 orang pada 2018.

Menurutnya, daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah ibu tunggal paling tinggi iaitu seramai 11,026 orang diikuti daerah Besut seramai 6,800 orang dan Kemaman (5,107).

“Daerah Dungun pula terdapat 4,927 orang ibu tunggal, Kuala Nerus (4,858) Marang (4,714) Hulu Terengganu (3,328) dan Setiu (2,631).

“Daripada 43,471 ibu tunggal ini, seramai 36,140 adalah isteri yang kematian suami manakala 7,331 lagi adalah ibu tunggal akibat perceraian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, antara langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk menjaga kebajikan golongan ibu tunggal ialah memperkasakan ekonomi mereka seperti program bengkel jahitan, bengkel pertanian dalam bandar serta dana khas bantuan perniagaan.

“Kerajaan negeri juga menjalankan Program Literasi Undang-Undang yang matlamatnya adalah untuk memastikan setiap wanita di Terengganu mengetahui hak dan undang-undang yang melindungi mereka apabila terdapat pengabaian nafkah, diskriminasi, salah laku dan jenayah ke atas mereka.

“Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan khidmat Biro Guaman secara percuma kepada pasangan suami isteri yang berdepan masalah rumah tangga,” katanya.

Bagi mencegah berlakunya perceraian pula, Zuraida berkata, kerajaan negeri telah memasukkan elemen kesedaran dan tanggungjawab para suami dalam siri teks khutbah Solat Jumaat.

“Selain itu, ada Program Bulan Madu Kali Kedua di bawah YPKT dan Pejabat Agama dengan membawa pasangan suami isteri bermasalah secara berkumpulan ke lokasi lokal yang menarik di samping menjalani modul pemulihan rumahtangga,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya