Joanna percaya Jho Low penasihat Najib dalam 1MDB - Utusan Malaysia

Joanna percaya Jho Low penasihat Najib dalam 1MDB

jho low
Jho Low
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau percaya ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah penasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berjawatan Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 51, berkata, Jho Low sendiri yang memperkenalkan diri sebagai penasihat Najib dalam 1MDB sewaktu mengadakan beberapa pertemuan dengan ahli perniagaan tersebut.

Menurut saksi pendakwaan ke-41, kepercayaan itu juga berasaskan kepada situasi sewaktu mesyuarat 1MDB berlangsung apabila beberapa pengurusan tertingginya kerap merujuk Jho Low sebagai ‘boss’ dan bekas Perdana Menteri sebagai ‘big boss’.

Joanna menegaskan, oleh yang demikian pihaknya tidak pernah curiga ketika Jho Low yang secara berterusan mengaku mewakili Najib, memaklumkan beliau berhasrat membuka akaun peribadi di AmBank.

Pada prosiding semalam, saksi menyatakan sedikit terkejut ketika dimaklumkan bahawa beliau ditugaskan menjaga akaun peribadi Najib yang ketika itu Perdana Menteri.

“Saya tidak pernah sangsi Jho Low mewakili Najib sebagai penasihat kerana kerap bertemunya di pejabat 1MDB meskipun tidak bertemu Najib di situ,” jelas beliau pada sesi pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Joanna memberikan keterangan terhadap Najib, 69, yang menghadapi pertuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sewaktu menjawab soalan Ahmad Akram, saksi menyatakan beliau tidak pernah meragui Jho Low penasihat Najib dalam 1MDB kerana ahli perniagaan itu kerap memintanya menyemak status kad kredit Najib setiap kali ia tidak boleh digunakan.

Ketika ditanya oleh Ahmad Akram sama ada beliau pernah diberitahu oleh pihak lain bahawa Jho Low bukan penasihat Najib, saksi berkata tidak pernah.

“Saya gagal mengesahkan perkara itu (Jho Low penasihat Najib) dengan lebih mendalam kerana saya tidak rasa boleh bertemu Najib atau mengunjungi kediamannya, bukan taraf saya berbuat demikian,” kata Joanna.

Pada awal prosiding, Joanna turut ditanya pihak yang kerap hadir ke kaunter bank untuk memasukkan wang tunai ke dalam akaun Najib secara berterusan setiap kali bakinya tidak mencukupi.

Saksi berkata, selalunya dua orang dikenali sebagai Kee Kok Thiam dan Josie Lim hadir membawa wang tunai dan mereka bukan daripada Arab, sebaliknya rakyat negara ini.

Joanna turut memberitahu, Najib tidak pernah membuat aduan berhubung kemasukan wang tunai melalui kaunter mahupun bertanyakan mengapa beliau tidak menerima penyata akaun daripada pihak bank.

Sewaktu diminta menjelaskan hubungan rapatnya dengan Jho Low, Joanna menyatakan beliau mula mengenali ahli perniagaan itu pada 2007 ketika ditugaskan menguruskan pinjamannya dengan pihak bank.

Joanna sekali lagi menegaskan beliau tiada hubungan rapat dengan Jho Low meskipun kerap bertemu di kediaman mewah lelaki itu bagi membincangkan urusan perbankan dan beliau tidak bersendirian sebaliknya sentiasa ditemani oleh pihak lain.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 27 Februari ini.

Najib didakwa melakukan perbuatan rasuah di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN